PMO Tuntut Meta Minta Maaf Padam Hantaran PM Anwar Bertemu Haniyeh

Hantaran di aplikasi X Pejabat Perdana Menteri yang menuntut permohonan maaf daripada Meta kerana menurunkan hantaran pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada 14 Mei lalu.
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Meta diminta memohon maaf berhubung tindakan memadam hantaran gambar di Instagram memaparkan perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar.
Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut penjelasan Meta berhubung tindakan tersebut yang dilakukan semalam.

“Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan pihak Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar pada bulan Mei lalu.
“Tindakan ini ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.
“Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” tegasnya dalam satu perkongsian di media sosial.
Tindakan Meta memadam perkongsian itu sehari sebelum Haniyeh dilaporkan dibunuh di Tehran, Iran hari ini.
Pada 14 Mei lalu, Anwar berkongsi gambar pertemuan dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh, di Doha.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berpeluang menyampaikan ucapan takziah kepada Ismail yang kehilangan ahli keluarga dalam pengeboman kejam rejim Zionis.
“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis,” kata Anwar.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia akan berterusan dalam usaha memberi tekanan agar serangan ke atas Rafah dihentikan.
“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.
Fahmi Kecam Meta Turunkan Kandungan Pertemuan PM Anwar Dan Hamas
“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Negara Islam) dan masyarakat antarabangsa.
“Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian,” kata Perdana Menteri lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
