PM UK Kekal Tahap Tertinggi Susulan Rusuhan Puak Pelampau

Penunjuk perasaan membawa sepanduk tertera mesej anti perkauman di Belfast, Ireland Utara. Foto Reuters

LONDON, 10 Ogos – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, memberi amaran bahawa pihak berkuasa United Kingdom (UK) perlu lebih berjaga-jaga terhadap kemungkinan rusuhan oleh pihak pelampau haluan kanan.

Amaran itu dibuat selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara pertama bagi kesalahan hasutan dalam talian baru-baru ini.

Semalam, lebih 1,000 penunjuk perasaan anti-perkauman berkumpul di ibu negara Ireland Utara, bersama puluhan penunjuk perasaan anti-imigresen, dengan kehadiran polis yang ramai.

Starmer berkata, keadilan pantas yang diberikan oleh mahkamah membantu menghalang lebih banyak kekacauan daripada merebak ke serata UK.

Bunga diletakkan bagi memperingati kanak-kanak yang terbunuh dan cedera dalam serangan menggunakan pisau di Southport, Britain. Foto Reuters

“Bagaimanapun, kita harus sentiasa berjaga-jaga terutama menjelang hujung minggu ini, bagi memastikan komuniti kita benar-benar selamat dan terjamin,” katanya.

Hakim Mahkamah di Leeds, utara England, menjatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun atas tuduhan menghasut.

Ia selepas lelaki itu mengaku memuat naik hantaran Facebook yang mencetuskan kebencian kaum dengan menggalakkan orang ramai menyerang sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka dan pelarian.

Di Northampton, Tyler Kay berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara 38 bulan selepas memuat naik hantaran di media sosial supaya hotel yang menempatkan pencari suaka dibakar.

Starmer turut menegaskan, semua orang, sama ada terbabit secara langsung atau di belakang tabir, masih boleh didapati bersalah jika sesuatu perbuatan itu mendorong keganasan berlaku.

“Eksekutif dan pengguna media sosial harus berhati-hati dengan keutamaan mutlak iaitu memastikan komuniti kita selamat dan terlindung.

“Kami perlu memberi perhatian lebih teliti pada media sosial selepas gangguan ini tetapi tumpuan pada masa sekarang harus menjurus kepada menangani gangguan semasa,” katanya.

Polis di England berkata hampir 600 tangkapan dibuat membabitkan pergolakan sejak 30 Julai lalu dan kira-kira 150 pertuduhan sudah difailkan.

Kekecohan tercetus selepas serangan seorang susupek bersenjatakan pisau pada 29 Julai lalu yang menyebabkan tiga kanak-kanak terbunuh, menyaksikan masjid dan kemudahan berkaitan imigran diserang termasuk polis serta pihak berkuasa lain.

Ia tidak mengambil masa lama untuk dakwaan palsu muncul di media sosial selepas tiga kanak-kakan perempuan itu dibunuh di bandar Southport, UK pada hujung Julai lalu.

Dalam beberapa jam, maklumat palsu mengenai nama penyerang, agama dan status penghijrahan mendapat perhatian meluas, sehingga tercetus gelombang maklumat salah dan membawa kepada rusuhan ganas selama berhari-hari di seluruh UK.

Antara maklumat palsu yang dikongsi di media sosial mendakwa penyerang itu berada dalam senarai pemerhatian perkhidmatan perisikan, datang ke UK menaiki bot kecil pada 2023, serta dikenali oleh perkhidmatan kesihatan mental tempatan.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu sehari selepas ia tersebar dan menegaskan suspek dilahirkan di Britain tetapi naratif palsu itu sudah mendapat tarikan ramai.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menawarkan sokongannya kepada Starmer menerusi panggilan telefon dengan perdana menteri itu, semalam.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serangan pada 29 Julai lalu, Macron turut mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dan kekacauan di Britain dalam perbualannya dengan Starmer. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *