PM Kishida ‘Kejar Masa’ Selamatkan Mangsa Gempa Bumi Jepun

Pandangan dari udara menunjukan beberapa rumah, kenderaan dan jalan di Kanazawa, Ishikawa, Jepun rosak akibat gempa bumi yang melanda kawasan itu semalam. Foto Reuters-Kyodo

TOKYO, 2 Jan – Gempa bumi besar yang melanda tengah Jepun pada hari tahun baru semalam menyebabkan kerosakan meluas’ dan mengorbankan banyak nyawa, kata Perdana Menteri, Fumio Kishida, hari ini.

“Kerosakan yang sangat besar disahkan, termasuk banyak korban, bangunan runtuh dan kebakaran,” katanya kepada pemberita, menggambarkan situasi mengejar masa’ untuk menyelamatkan mangsa.

Gempa yang melanda semalam setakat ini meragut nyawa sekurang-kurangnya enam orang serta mencetuskan ombak tsunami setinggi satu meter.

Ia turut meruntuhkan rumah-rumah serta mencetuskan kebakaran besar yang membawa kepada kemusnahan besar sepanjang malam, kata pihak berkuasa hari ini.

Skala kerosakan gempa tersebut masih dinilai dengan rakaman berita menunjukkan bangunan tumbang, bot karam di pelabuhan, rumah hangus dan penduduk terputus bekalan elektrik dalam suhu semalaman yang sejuk.

Pandangan dari udara menunjukan beberapa rumah, kenderaan dan jalan di Kanazawa, Ishikawa, Jepun rosak akibat gempa bumi yang melanda kawasan itu semalam. Foto Reuters-Kyodo

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa yang melanda wilayah Ishikawa di Pulau Honshu itu berukuran 7.5 pada skala Richter.

Pihak berkuasa Jepun meletakkan kekuatan 7.6 bagi magnitud gempa bumi tersebut dan berkata, ia adalah satu daripada lebih 90 gempa yang menggegarkan wilayah tersebut setakat pukul 1 pagi (waktu tempatan) semalam.

Ombak setinggi sekurang-kurangnya 1.2 meter melanda pelabuhan Wajima semalam dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain, namun amaran tentang ombak yang lebih besar terbukti tidak berasas.

Seorang pegawai bertugas di Jabatan Bomba Wajima berkata, mereka menerima permintaan menyelamat dan laporan kerosakan yang terlalu banyak.

“Sejak pagi ini, jumlah itu semakin meningkat,” katanya kepada AFP sambil menambah, jabatan itu telah menerima berpuluh-puluh laporan kerosakan struktur.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *