PM Anwar Zahir Rasa Syukur Atas Kemenangan Di Nenggiri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi foto kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Nenggiri di media sosial beliau pada Ahad. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Menurut Datuk Seri Anwar dalam kenyataannya di Facebook, ia bukti rakyat Kelantan terima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan.

“Kemenangan ini juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI.

“Selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini,” kata Anwar dalam kenyataannya.

Tambahnya, ia juga menjadi suntikan moral bagi kerajaan untuk tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat serta menjulang kemakmuran negara ke tahap tertinggi.

Pada PRK semalam, BN merampas kembali kerusi tradisinya itu di Kelantan, selepas calonnya menang menewaskan calon PN dalam saingan satu lawan satu.

Azmawi, 38, memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Bahagian Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie, menang dengan majoriti 3,352 undi.

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN menguasai tiga PDM.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan BN yang kini menjadi pembangkang di DUN Kelantan menambah satu lagi kerusi, selain di DUN Galas dan Kota Lama.

Kerusi Galas diwakili BN manakala Kota Lama dikuasai AMANAH mewakili Pakatan Harapan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *