PM Anwar Utus Tahniah Kepada Anutin Menang Undian Perdana Menteri Thailand

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada 19 Mac 2026. Foto EPA
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, atas mandat baharu beliau untuk terus memimpin negara gajah putih itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial beliau, Anwar berkata beliau berharap untuk meneruskan hubungan kerja rapat dengan Anutin serta memperkukuh kerjasama Malaysia-Thailand, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, kerjasama sempadan, serta kestabilan rantau ini secara keseluruhan.
“Sebagai jiran terdekat dan rakan dalam ASEAN, Malaysia dan Thailand mempunyai kepentingan yang mendalam terhadap kejayaan antara satu sama lain.
“Nasib kita ibarat dua sungai yang berpunca daripada mata air yang sama,” ujar Anwar.
Terdahulu hari ini, Anutin terpilih semula sebagai Perdana Menteri Thailand selepas memperoleh kemenangan besar dalam undian Parlimen, sekali gus menamatkan kemelut politik berpanjangan di negara berkenaan.
Kemenangan pemimpin Parti Bhumjaithai itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar terdekatnya, Natthaphong Ruengpanyawut daripada Parti Rakyat yang berhaluan progresif.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
