PM Anwar Ucap Takziah Pemergian Karam Singh Walia

Perdana Menteri berkata, sumbangan dan dedikasi Karam dalam dunia kewartawanan penyiaran amat dihormati pada 6 April 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan salam takziah kepada keluarga bekas wartawan alam sekitar, mendiang Datuk Karam Singh Walia.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, sumbangan dan dedikasi Karam dalam dunia kewartawanan penyiaran amat dihormati.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Karam Singh Walia, wartawan penyiaran yang amat dihormati, atas pemergian beliau hari ini.

“Sumbangan dan dedikasi mendiang dalam dunia kewartawanan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar, akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Moga mendiang disemadikan dengan aman, dan keluarga diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, mendiang dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga bekas anggota polis, Karam Singh, 67, memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 sebelum bersara pada 2014 berikutan masalah kesihatan.

Beliau yang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.

Mendiang adalah antara penerima Tabung Kasih@HAWANA dalam kalangan media pada Jun 2024.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *