PM Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Mendiang Wanita Pertama Dalam Perkhidmatan Awam

Foto mendiang Tan Sri Devaki Krishnan yang meninggal dunia dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan yang meninggal dunia pada Sabtu.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan mendiang merupakan sosok penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik negara dan sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.
“Turut berdukacita di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan malam tadi.
“Devaki adalah sosok penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik negara, sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.
“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya.

“Takziah kepada keluarga mendiang,” ujar Anwar.
Terdahulu media melaporkan mendiang meninggal dunia malam tadi pada usia 100 tahun.
Berita pemergian mendiang dikongsi cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menerusi Facebook awal pagi tadi.
“Kehilangannya pada usia 100 tahun sudah tentu amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Kehilangannya tiada ganti. Kenangan bersamanya akan terus diabadi. Semoga rohnya diberikan ketenangan,” katanya.
Menurut Ramanan, mendiang Devaki merupakan seorang tokoh wanita berpengaruh dalam politik Malaysia sehingga diberi gelaran ‘Grand Dame of Malaysian Indian Politics’ dan hayatnya diabdikan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Jasa dan kepimpinannya mengangkat martabat wanita di mata dunia. Seorang pionir sebagai wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia dan meninggalkan warisan gemilang dalam sejarah politik negara,” katanya.
Devaki dilahirkan pada 11 Mac 1923 memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.
Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
