PM Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Dua Pelajar Maut Nahas Di New Zealand

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar turut mendoakan agar tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dalam insiden itu dikurniakan kesembuhan secepat mungkin.

“Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Tinggi di New Zealand akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga,” kata beliau.

Terdahulu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar maut dalam insiden itu pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, nahas berkenaan membabitkan lima penuntut Malaysia dan mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ketika dihubungi Bernama mengesahkan

pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Mangsa yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut Universiti of Canterbury, manakala Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

  • BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *