PM Anwar Terima Kunjungan Ahmad Dhani Dewa 19 Di Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan seniman Indonesia, Ahmad Dhani daripada kumpulan Dewa 19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menerima kunjungan bintang seni terkenal dari Indonesia, Ahmad Dhani yang juga ketua kumpulan rock Dewa 19 di pejabat beliau di Putrajaya.
Berkongsi pertemuan itu, Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Dhani dan kumpulan muzik beliau di atas kejayaan pementasan konsert mereka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, yang berlangsung malam tadi.
Dalam hantaran di akaun media sosial beliau, Anwar turut menitipkan harapan semoga industri muzik Malaysia dan Indonesia akan terus subur.
“Moga benih industri muzik Malaysia dan Indonesia terus subur dan mekar dalam menjiwai rumpun kebersamaan serta keharmonian sejagat. Teruskan berkarya!” kata hantaran berkenaan lagi.

Ahmad Dhani yang terinspirasi dengan perjuangan Anwar bercita-cita mahu memasuki arena politik di tanah airnya bagi mengikuti jejak langkah Anwar hingga menjadi Perdana Menteri.
Pemilik nama sebenar, Dhani Ahmad Prasetyo bersama anggota Dewa 19 mengadakan Konsert Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia, malam tadi.
Pada konsert itu, selama tiga jam itu, Dewa 19 menyampaikan 34 lagu dengan diiringi 54 pemuzik orkestra dari Malaysia.
Diketuai maestro muzik Indonesia selaku konduktor, Guntur Nur Puspito, kumpulan asal Surabaya yang ditubuhkan sejak 1986 itu turut berkolaborasi dengan tiga artis tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi.
Antara lagu hit yang didendangkan adalah Arjuna, Elang, Risalah Hati, Roman Picisan, Bukan Cinta Manusia Biasa dan Pupus.
Turut dipersembahkan rentetan lagu ‘berhantu’ kumpulan yang diasaskan di Surabaya pada 1986 ini seperti Selimut Hati, Laskar Cinta, Satu, Sedang Ingin Bercinta dan banyak lagi.
Konsert dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu dipenuhi sekitar 7,000 penonton yang menggelarkan diri Baladewa dan Baladewi iaitu peminat tegar masing-masing bagi lelaki dan wanita.
Kumpulan ini telah meraih kejayaan sepanjang dekad 1990-an dan 2000-an melalui rangkaian lagu-lagu bergenre pop dan rock.
Album yang mereka hasilkan selalu mendapat sambutan hebat di pasaran, bahkan album mereka yang dilancarkan pada tahun 2000, Bintang Lima, merupakan salah satu album terlaris di Indonesia dengan penjualan hampir 2 juta rekod.
Pada tahun 2005, majalah Hai menobatkan Dewa 19 sebagai band terkaya di Indonesia dengan pendapatan mencapai lebih dari 14 bilion rupiah setahun.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
