PM Anwar Tegaskan Kerajaan MADANI Tolak Sekeras-Kerasnya Sentimen Perkauman

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra drngan para penari pelbagai etnik Sabah ketika hadir merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENAMPANG, 31 Mei – Kerajaan MADANI menolak sekeras-kerasnya sentimen perkauman dan berunsur keagamaan yang cuba dimainkan pihak tertentu di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sedar ada pihak cuba menggunakan sentimen sempit itu hingga boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, selagi kerajaan pimpinannya ada, tiada ruang untuk sentimen berkenaan dibiarkan berleluasa dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perkara seumpama itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, atas perkara itu juga beliau memenuhi undangan untuk menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan di Sabah hari ini sebagai tanda sokongan terhadap kepentingan semangat kesatuan pelbagai kaum.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian kerajaan negeri dan jawatankuasa penganjur menjemput saya hari ini.

“Saya menganggap ini bukan saja penghormatan tapi tanda kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan serta sikap terbuka kita memuliakan kepelbagaian kebudayaan yang indah di negara kita termasuk pada sambutan Kaamatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Tapi kita harus waspada kerana masih ada unsur yang membawa sentimen perkauman dan suku kaum seperti dilihat dalam pertempuran politik di Semenanjung, ada yang mengheret sikap perkauman sempit menolak kehadiran hak kaum lain.

“Ada yang memainkan sentimen agama hingga menganggap semua yang lain tidak berharga,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan timbalannya selaku pengerusi penganjur sambutan, Datuk Dr Jeffery Kitingan serta Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra drngan para penari pelbagai etnik Sabah ketika hadir merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan berpegang kepada prinsip perlembagaan yang jelas mengenai soal agama, budaya dan bahasa setiap kaum.

Katanya, kerajaan pimpinannya tidak mungkin akan memungkiri jaminan itu, malah ia dianggap sebagai kekuatan negara berbilang kaum yang harus sentiasa dipelihara.

“Kerajaan menjamin setiap hak rakyat negara ini mesti dilindungi. Saya terus tekankan ini kerana gerakan seperti ini masih ada walaupun sudah enam dekad dan ini tidak boleh ditoleransi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba bagi merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, Sabah pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau menekankan bahawa kerajaan terbuka terhadap sebarang kritikan atau mendengar usul daripada semua pihak walaupun perkara yang sukar tetapi tidak boleh menyentuh soal menghina kaum dan agama.

“Sebab itu saya pilih hadir dalam Pesta Kaamatan, pertama budaya segar, budaya indah di seluruh Malaysia. Malah sambutan dibuat Jabatan Perdana Menteri tidak pernah kita tinggalkan daripada suku Kadazandusun Murut, kita sentiasa masukkan identiti Malaysia, ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Dayak dan pelbagai suku kaum lagi,” katanya.

Ini merupakan tahun kedua Anwar meraikan dan merasmikan pesta berkenaan sebagai Perdana Menteri dan kini menjadi acara wajib beliau setiap tahun.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *