PM Anwar Seru Semua Pihak Rapatkan Jurang Perbezaan Budaya, Bahasa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan khas bagi memperingati tokoh bahasa dan pengajian Islam Jepun, mendiang Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, Tokyo hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

TOKYO, 24 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak untuk berusaha merapatkan jurang perbezaan budaya dan bahasa di seluruh dunia.

Seruan itu dinyatakan Anwar menerusi syarahan khas bagi memperingati tokoh bahasa dan pengajian Islam Jepun, mendiang Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, di Minato City, di sini hari ini.

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada para profesor, cendikiawan dan pensyarah serta pemikir tempatan menghadiri syarahan khas yang dihoskan universiti itu selain sebagai penghormatan kepada Anwar selaku tokoh pejuang bahasa dan budaya di Asia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan khas bagi memperingati tokoh bahasa dan pengajian Islam Jepun, mendiang Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, Tokyo hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar memberi penghormatan dan penghargaan kepada tokoh itu atas jasanya memupuk pemahaman silang budaya yang mendalam terhadap pemikiran Islam dalam konteks kenegaraan dan masyarakat di Jepun.

“Marilah kita bersama-sama mengingati Izutsu dengan merangkul semangat empatinya, dengan berusaha memahami, sebelum cuba difahami.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan khas bagi memperingati tokoh bahasa dan pengajian Islam Jepun, mendiang Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, Tokyo hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“…Dan dengan berusaha untuk mencipta masa depan, di mana pencerahan ilmu dan nilai belas kasihan mampu membebaskan kita daripada kegelapan, sifat kejahilan dan kebencian,” kata Anwar menerusi syarahan berkenaan di sini.

Semasa hayatnya, Izutsu menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Jepun; menonjolkan usaha manusia sejagat untuk mendapatkan makna dan pemahaman.

Anwar menyifatkan usaha itu bukti kemahiran dan garapan linguistik mendalam yang membolehkan akses kepada Al-Quran kepada masyarakat Jepun.

“Tugas menterjemahkan Al-Quran sangat mencabar kerana dimensi linguistik, teologi, falsafah, spiritual, dan mistik yang kompleks. Bagi umat Islam, Al-Quran tidak sekadar teks tetapi ia adalah wahyu ilahi dengan lapisan makna yang mendalam.

“Oleh itu, pendekatan Izutsu dalam terjemahan melibatkan lebih daripada sekadar menukar kata-kata Arab ke dalam bahasa Jepun bahkan ia perlu pemahaman yang mendalam tentang bahasa Arab, tradisi Islam serta bahasa semitik.

“Dengan menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Jepun, Izutsu menjadikan teks suci ini boleh diakses oleh pembaca berbahasa Jepun, sekaligus menggalakkan pemahaman silang budaya.

“Usaha ini menunjukkan komitmennya untuk merapatkan jurang budaya dan linguistik, serta menyumbang kepada kajian Islam dengan dengan sangat ketara,” ujar Anwar di Facebook.

Antara karya terkenalnya termasuk ‘Sufism and Taoism’.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *