PM Anwar Seru Anak Muda Angkat Martabat Negara Melalui Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muda yang hadir pada peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI di Putrajaya pada Rabu. Foto Faisol Mustafa

PUTRAJAYA, 5 JunDatuk Seri Anwar Ibrahim mengajak golongan muda kembali ke landasan untuk bersama-sama mengangkat martabat negara menerusi Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri berkata, modul terbabit dirangka berteraskan prinsip Perlembagaan yang turut menghargai sumbangan pemimpin dan pejuang kemerdekaan negara terdahulu.

“Saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan mahu mengangkat negara, mesti dengan keyakinan, mesti dengan semangat perpaduan, semangat kecintaan kepada negara serta keyakinan bahawa negara ini mampu diangkat sebagai negara hebat di mata dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muda yang hadir pada peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI di Putrajaya pada Rabu. Foto Faisol Mustafa

“Ini dengan dasar yang kita cerakin secara jelas, bahawa Malaysia adalah negara dagang, memerlukan kekuatan induk tetapi memerlukan keyakinan luar dan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI di sini.

Anwar berkata, modul yang dihasilkan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bersama rakan kolaboratif memberi penekanan untuk mengenali sejarah negara.

Katanya, perjuangan pejuang terdahulu dan penyertaan semua kaum membolehkan negara ini mencapai kemerdekaan dan berdaulat disebabkan sumbangan mereka.

“Dalam modul ini, kita hargai sumbangan pemimpin, pejuang kemerdekaan terdahulu, dari semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai jasa tetapi menghargai sumbangan jasa lama itu tidak mengikat kita dalam keadaan yang beku.

“Bayangkan ibu bapa miskin, sanggup menyerahkan cincin, gelang dan rantai, (jadi) bekalan untuk pemimpin terbang (menaiki pesawat), biaya ke London, berbincang dengan Inggeris (penjajah) untuk tuntut kemerdekaan, namun semangat ini kadang-kadang pudar kerana kita sibuk dengan kepentingan diri tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat.

“Seperti mana disebut oleh pemikir Perancis, untuk menilai sumbangan pejuang, pemikir terdahulu, bukan semata-mata menyatakan penghargaan atau melupakan mereka tetapi menyemarakkan semangat yang mereka tanam, ini tugas anak-anak muda yang ramai hari ini,” katanya.

Menyentuh mengenai Akademi Kenegaraan Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia menjadi medan serta gelanggang untuk menanam kasih sayang, semangat perpaduan dan cintakan negara.

“Dalam akademi ini kita harus tegas, tidak mahu terlanjur menjadikan ia medan untuk atau gelanggang untuk memecah belah serta menanam kebencian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anak muda harus merebut peluang dengan pelbagai kemajuan teknologi selain sedia berdepan realiti dan cabaran serta melangkah dengan semangat baharu.

“Kalau dahulu, kita dikenali dengan industri pembuatan sekarang dengan tenaga, dengan teknologi maklumat, digital dan AI (kecerdasan buatan), pusat data dan semikonduktor, dan saudara tahu, syukur (bahawa) Malaysia diiktiraf sebagai pusat semikonduktor ulung di rantau ini.

“Semua syarikat utama dalam bidang digital, teknologi baharu, AI, masuk ke Malaysia, ada Microsoft, Google dan syarikat semikonduktor terulung dari Eropah, jadi anak muda harus rebut peluang itu,” katanya.

Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan MADANI.

Kaedah pelaksanaan modul yang diperkenalkan, menggabungkan kaedah konvensional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.

Tiga elemen utama diadun untuk menghasilkan modul Program Latihan Kenegaraan berteraskan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia MADANI yang mana modul yang dibangunkan adalah berbentuk kursus separuh hari, kursus satu hari dan kursus tiga hari dua malam. – BH


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *