PM Anwar Sertai Solat Jenazah Almarhum Prof Syed Muhammad Naquib

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai solat jenazah Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang juga tokoh pemikir peradapan kontemporari Islam di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur pada 9 Mac 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada solat jenazah Allahyarham Prof Diraja, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Masjid al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, pagi tadi.
Ketibaan Anwar disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta beberapa menteri kabinet dan kalangan ilmuwan dan tokoh agama yang rapat dengan allahyarham.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin wanita yang amat menghargai jasa dan sumbangan allahyarham dalam mengangkat martabat golongan itu.
Solat jenazah berkenaan turut disertai beberapa menteri Kabinet, ahli keluarga, rakan serta penduduk setempat itu diimamkan oleh anak Allahyarham, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Jenazah allahyarham yang kembali ke Rahmatullah petang semalam selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, 12.30 tengah hari tadi.
Kenderaan membawa jenazah tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam kontemporari berusia 94 tahun itu tiba di perkarangan tanah perkuburan jam 12 tengah hari.

Jenazah kemudian dikebumikan pada 12.30 tengah hari dalam suasana sayu mengenang pemergian allahyarham yang banyak memberi inspirasi kepada umat Islam.
Turut berkenan berangkat ke persemadian berkenaan bersama kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Syed Muhammad Naquib, pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), meninggal dunia 6.47 petang semalam.
Pemergiannya amat dirasai Anwar menerusi hantaran di Facebook yang meluahkan rasa dukacita dan disifatkan beliau antara pemikir terbesar pada zaman ini.

Beliau berkata, Allahyarham bukan sekadar seorang ahli falsafah, tetapi tokoh yang mengajak masyarakat menilai bukan sahaja apa yang diketahui, malah tujuan sebenar ilmu itu sendiri.
“Melalui karya-karya penting termasuk ‘Islam and Secularism’ serta karya agungnya ‘Prolegomena to the Metaphysics of Islam‘ Allahyarham mencabar proses sekularisasi ilmu dan membina asas intelektual kepada pandangan alam Islam.

“Pemikiran Allahyarham bukan sahaja didengari di Malaysia, malah turut memberi kesan besar kepada dunia Islam secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
