PM Anwar Minta Menteri Luar Hubungi Turkiye, Arab Saudi Adakan Sidang Tergempar OIC

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan lisan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 31 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghubungi pihak Turkiye dan Arab Saudi untuk menyatakan kewajaran mengadakan sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi catatan di laman Facebook malam ini.
“Sidang ini juga harus melibatkan negara-negara seperti Brazil, Rusia dan China yang menyatakan sikap tegas menentang keganasan Israel,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa telah menyatakan sokongan Malaysia terhadap cadangan Turkiye dan Arab Saudi untuk mengadakan mesyuarat OIC bagi membincangkan isu Palestin.
Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel pula memaklumkan Bernama bahawa republik itu menjalin kerjasama erat dengan negara ini dalam isu Palestin termasuk berkaitan penyelarasan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata perkara itu turut dibincang oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Anwar semasa lawatan dua hari Perdana Menteri ke Turkiye pada 21 Oktober lepas.
Anwar dan Erdogan mengadakan pertemuan di Istana Vahdettin, Istanbul sebelum berlepas ke Kaherah dalam rangka lawatan kerja ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir dari 20 hingga 23 Oktober lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
