PM Anwar Masih Tidak Ambil Gaji, Potongan Gaji Menteri Diteruskan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada penutup Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, Skudai. Foto UTM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan masih tidak mengambil sebarang gaji malah potongan gaji sebanyak 20 peratus kepada Jemaah Menteri masih diteruskan walaupun gaji penjawat awam kini dinaikkan.

Beliau berkata, komitmennya untuk tidak mengambil sebarang gaji masih berkuatkuasa sehingga kini.

“Saya umum kenaikan gaji penjawat awam tetapi gaji Jemaah Menteri tidak naik malah masih kekal dipotong 20 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penutup Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, Skudai. Foto Bernama

“Dalam masa yang sama, kerajaan bantu penjawat awam dengan menaikkan gaji mereka.

“Perdana Menteri pula sampai hari ini, walaupun macam-macam ditohmah tetapi tetap tidak ambil gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penutup Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, Skudai. Foto Bernama

Sebelum ini, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam dinaikkan kepada 15 peratus manakala pengurusan tertinggi dinaikkan pada kadar tujuh peratus.

Pelaksanaan pelarasan gaji itu dilakukan menerusi dua fasa bermula 1 Disember depan dan 1 Januari 2026.

Pada Disember 2022, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan.

Langkah tersebut diambil sebagai semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.

Seterusnya pada Januari lalu, Anwar dilaporkan kekal dengan pendirian tidak akan mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 itu selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya.

Ia termasuk elaun sebagai pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *