PM Anwar Mahu SPRM, Jabatan Audit Tegas Kesan Perlanggaran Tatakelola

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Facebook
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara bertindak lebih tegas dengan menerobos semua agensi dan kementerian serta badan berkanun untuk mengesan sebarang bentuk pelanggaran tatakelola.
Beliau berkata, isu pelanggaran tatakelola masih berlaku dan tidak terhad hanya kepada pengurusan yang membabitkan pelantikan politik, sebaliknya kumpulan profesional termasuk penjawat awam dan agensi kerajaan.
“Berdasarkan laporan yang saya baca, (pelanggaran ini) dia tak terikat (lantikan politik atau bukan). Kita lantik baik orang politik, profesional atau penjawat awam, asalkan dia ikut peraturan dan dipantau dengan teliti oleh Kementerian Kewangan (MOF), Ketua Audit Negara dan SPRM.

“SPRM dan Ketua Audit Negara diminta lebih tegas dan menyeluruh menerobos semua agensi dan kementerian selepas ini,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.
Turut sama hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Selain itu Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azman Ibrahim mendengar amanat Perdana Menteri yang dihadiri kira-kira 500 wakil pemegang taruh berkaitan tatakelola.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
