PM Anwar Lakukan Lawatan Kerja Ke Sabah Dua Hari

KOTA KINABALU, 28 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula dengan perjumpaan bersama penjawat awam negeri dan persekutuan, di sini, petang ini.
Ia adalah lawatan kerja rasmi yang pertama beliau ke negeri ini dan yang kedua sebagai Perdana Menteri selepas singgah dari lawatan ke Jakarta ketika kemelut politik Sabah, awal bulan lalu.
Anwar dijadual menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada jam 4.30 petang.
Dijadual hadir sama pada majlis itu nanti ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
Selepas acara di SICC, Anwar dijadual menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Negeri Sabah di Sembulan pada jam 6.30 petang sebelum makan malam bersama jemaah Kabinet Sabah di Sutera Harbour Resort, di sini, pada jam 8.30 malam.
Sementara itu, esok Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada jam 9.30 pagi di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Selesai kunjungan hormat yang dijadual berlangsung kira-kira sejam, Perdana Menteri bersama isteri dan rombongan Jabatan Perdana Menteri terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk berlepas ke Manila, Filipina bagi lawatan rasmi ke negara itu.
