PM Anwar Kutuk Tindakan Meta Turunkan Hantaran Ucapan Takziah Pemergian Haniyeh

Hantaran di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diturunkan Meta pada Khamis kononnya melanggar ‘garis panduan komuniti’ yang mendapat kritikan keras Anwar pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan Meta yang bertindak biadab menurunkan kandungan video dan ucapan takziah serta kritikan beliau terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh di Facebook rasmi beliau pada Khamis.

“Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.

“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.

“Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!,” tegas Anwar dalam satu kenyataan media yang disiarkan sebentar tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual dengan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar pada 14 Mei lalu. Foto Bernama

Menerusi imej tangkap layar yang disertakan bersama kenyataan media itu, Meta memberi alasan hantaran tersebut bertentangan dengan ‘community guidlines’ kononnya Haniyeh dilabelkan sebagai ‘dangerous individuals and organization’.

Ini merupakan kebiadaban kedua Meta setelah kali pertama didesak memohon maaf berhubung tindakan memadam hantaran gambar di Instagram memaparkan perjumpaan Anwar dengan Allahyarham Haniyeh di Doha, Qatar.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut penjelasan Meta berhubung tindakan tersebut yang dilakukan pada Selasa.

Hantaran di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diturunkan Meta menerima kritikan keras Anwar tidak sampai 24 jam hantaran itu disiarkan pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan pihak Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar pada bulan Mei lalu.

“Tindakan ini ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.

“Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” tegasnya dalam satu perkongsian di media sosial.

Tindakan Meta memadam perkongsian itu sehari sebelum Haniyeh dilaporkan dibunuh di Tehran, Iran pada Rabu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *