PM Anwar Jamin Pelajar SPM 10A Dapat Tempat Di Matrikulasi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan diberi ruang memasuki matrikulasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Jumaat lalu bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum mendapat pendidikan lebih tinggi.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan kerajaan akan menjamin hak pendidikan untuk Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila anak-anak lulus SPM (keputusan cemerlang) yang kemudian berdepan keterbatasan ruang pendidikan maka timbul masalah.
“Jemaah Menteri dengar keluhan rakyat dan melihat dan mengkaji cadangan. Jadi kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan,” katanya dalam ucapan penutup Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Terdahulu Anwar berada di Alor Setar bagi menerima anugerah tertinggi daripada Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan ke-82 di Istana Anak Bukit pagi tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

