PM Anwar Jadikan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China Amat Istimewa

Sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China ternyata sangat istimewa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana MenterI China Li Qiang senada dalam banyak perkara menerusi Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan PM Li ke Malaysia. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 21 JunPMX Datuk Seri Anwar Ibrahim terus fokus memacu ekonomi negara dengan merapatkan lagi kerjasama pintar serta hubungan dengan negara-negara besar dan ternama.

Ini dibuktikan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China diraikan penuh meriah dan istimewa di mata Perdana Menteri.

Terbaru, lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia telah mencatat banyak perkembangan positif yang membanggakan.

Antaranya melanjutkan tempoh pengecualian visa sehingga 2026, setuju menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman dan tentunya hubungan dagang bertambah kukuh.

China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dan tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion) iaitu mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Sudah tentu dengan kunjungan Li Qiang ini, kerjasama perdagangan dan pelaburan dalam pelbagai sektor semakin berkembang lagi.

BERTUKAR BUKU DAN SETEM KHAS

Pelbagai acara diatur untuk meraikan kehadiran Li Qiang, antaranya beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bertukar-tukar buku dan setem khas bagi memperingati ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara, selain Anwar juga menyerahkan syiling peringatan kepada Perdana Menteri China itu.

Ketika menyampaikan ucapannya, Anwar menegaskan Malaysia melihat hubungan dengan China bukan setakat rakan diplomatik dua hala, tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.

“Saya percaya menjadi kepentingan strategik buat Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya,” ujar beliau.

Selain itu, Anwar memberi jaminan Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan China bagi mencipta era baru hubungan antara kedua-dua negara yang telah erat terjalin sejak sekian lama.

Seterusnya, sebagai menekankan peri penting hubungan akrab kedua-dua negara, majlis makan tengahari bersama Premier China Li Qiang serta komuniti perniagaan Malaysia-China turut diadakan di sebuah hotel di ibu negara.

Ia adalah tanda bahawa Malaysia mahu meningkatkan lagi hubungan dagang dengan China bagi memantapkan kekuatan ekonominya.

Malah Anwar memberi penghargaan setingginya kepada komuniti perniagaan China dan juga Malaysia dalam bekerjasama erat selama ini di pelbagai bidang yang sekaligus menambah makna lagi kepada memaknai hubungan persahabatan kedua-dua negara.

KONGSI PENGALAMAN DENGAN LAI QIANG

Beliau juga berkongsi pengalaman berurusan dengan Li Qiang selama seharian semalam di mana pengalaman itu ternyata tidak seperti yang cuba digambar dan dipropagandakan di mana-mana di luar sana.

“Perbincangan kami menyentuh banyak hal dan tidak terhad hanya pada urusan perdagangan dan perniagaan semata-mata, tetapi saya merasakan wujudnya sikap hormat, kemesraan serta persefahaman yang utuh terhadap budaya dan jurang perbedaan.

“Tentunya ada isu yang bertentangan, namun ia ditekuni dalam suasana persahabatan yang erat dan saling memahami pandangan, pendapat dan pendirian tegas kedua-dua negara.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang neutral mampu dan punyai keupayaan untuk bekerjasama dengan mana-mana negara, termasuk China, dengan baik selain memastikan perhubungan itu bermakna dan memberi keuntungan serta manfaat kepada rakyat,” tambah Anwar lagi.

Dengan keakraban yang terpamer antara Anwar dan Li Qiang ini, hubungan Malaysia dan China bukan sahaja dirasakan bertambah kukuh, bahkan banyak manfaat ekonomi yang lebih besar bakal hadir sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang hadir pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak, Selangor pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sebagai rumusan lawatan PM China itu sebanyak 11 pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara entiti Malaysia dan China dengan jumlah potensi perlaburan sejumlah RM13.2 bilion diadakan sempena lawatan bersejarah tersebut.

Kesan daripada hubungan ini akhirnya, kita rakyatlah yang akan mendapat maafaatnya.

– Oleh Noraini Nordin


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *