PM Anwar Hargai Komitmen Presiden Iran Pertahan Nasib Rakyat Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 5 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 5 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap Presiden Iran, Masoud Pezeshkian atas komitmen beliau mempertahankan nasib rakyat Palestin yang saban hari dizalimi rejim zionis Israel.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran warga Gaza.

Beliau turut menyatakan bahawa dasar luar negara Malaysia tidak ditentukan oleh kuasa luar, sebaliknya terbina atas dasar kepentingan nasional dan keyakinan yang teguh.

“Malaysia mengecam kemunafikan negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan yang bermaruah.

“Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

Terdahulu, Anwar menerima panggilan telefon daripada Pezeshkian yang mengucapkan selamat sempena sambutan Aidiladha.

“Saya mendoakan supaya jemaah haji kedua-dua negara yang sedang berada di tanah suci Makkah dikurniakan haji mabrur dan menyumbang ke arah pembangunan ummah apabila pulang ke tanah air masing-masing.

“Dalam semangat Aidiladha yang mengangkat nilai pengorbanan dan semangat keadilan, saya ingin menzahirkan penghargaan yang mendalam atas usaha dan ketegasan beliau yang konsisten mempertahankan nasib warga Palestin khususnya di Gaza yang saban hari dibantai dan dizalimi rejim Zionis Israel,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan setingginya kepada Presiden Iran itu atas usaha murni beliau dalam memudahkan urusan pemulangan dua warganegara Malaysia yang sebelum ini ditahan di Iran.

Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Pezeshkian tatkala menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir baru-baru ini ke Tehran.

Kunjungan itu sebagai sebahagian dari usaha bersama memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi, keterjaminan makanan, perdagangan dan pelaburan, termasuk sektor minyak dan gas.

“Dalam perbincangan sama, Malaysia menyambut baik keputusan untuk menyambung semula operasi penerbangan Mahan Air dari Tehran ke Kuala Lumpur yang tentunya akan membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi hubungan ekonomi dan antara rakyat ke rakyat (people to people).

“Semoga sambutan Aidiladha pada tahun ini membawa rahmat, peneguhan iman, penyatuan umat di seluruh dunia,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *