PM Anwar Diberi Sambutan Rasmi Dengan Hamparan Permaidani Merah Oleh Kerajaan Laos

Datuk Seri Anwar Ibrahim memeriksa kawalan kehormatan angkatan bersenjata Laos sambil diiringi rakan sejawatnya Dr Sonexay Siphandone di atas hamparan permaidani merah semasa sambutan rasmi yang diadakan di Bangunan Pejabat Perdana Menteri Laos di Vientiane. Foto Bernama.

VIENTIANE, 27 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan rasmi negara dengan hamparan permaidani merah oleh kerajaan Laos di bangunan Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini, sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke negara ini.

Sejurus tiba, Anwar yang ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima jambangan bunga daripada murid sekolah tempatan dan disambut oleh Perdana Menteri Laos Dr Sonexay Siphandone serta isteri Vandala Siphandone.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memeriksa kawalan kehormatan angkatan bersenjata Laos sambil diiringi rakan sejawatnya Dr Sonexay Siphandone di atas hamparan permaidani merah semasa sambutan rasmi yang diadakan di Bangunan Pejabat Perdana Menteri Laos di Vientiane hari ini. Foto Bernama.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Anwar dengan diiringi Dr Siphandone.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya meneruskan mesyuarat dua hala dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) bagi Malaysia dan Thanaleng Dry Port (TDP) bagi Laos.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah menteri Laos sambil diiringi Dr Sonexay Siphandone dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sambutan rasmi Perdana Menteri ke Laos hari ini. Foto Bernama.

Anwar dan Siphandone juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).

Ini disusuli dengan sidang media bersama sebelum Siphandone menjadi hos majlis makan tengah hari rasmi kerajaan bagi meraikan Anwar dan delegasi Malaysia.

Anwar tiba di sini petang semalam untuk lawatan sulungnya ke negara ini atas jemputan Dr Siphandone dengan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *