PM Anwar Bertemu Pengurusan Syarikat Australia Di Melbourne

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan CEO Kumpulan Macquarie Shemara Wikramanayake selepas menghadiri mesyuarat dengan pemain industri di Melbourne, Australia hari ini. Foto Bernama

MELBOURNE, 5 MacPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin perniagaan dan eksekutif tertinggi daripada 18 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa semasa lawatan rasminya ke Australia, menggalakkan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia.

Selain daripada sesi perbincangan meja bulat, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan satu dengan satu untuk mendengar pandangan mereka.

Eksekutif syarikat yang terlibat daripada sektor pembuatan, termasuk peranti perubatan dan logam, serta sektor perkhidmatan seperti pusat data, kewangan dan perdagangan.

Anwar menegaskan Malaysia, di bawah kepimpinannya, melaksanakan dasar yang jelas dan berkesan yang menyumbang kepada tahap pelaburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat Fortescue selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata, kerajaan yang kukuh pada masa ini menjadi faktor utama untuk menarik pelabur ke Malaysia.

“Kami memperkenal dasar baharu dengan jelas. Dan hasilnya, kami meraih pelaburan perdagangan domestik dan asing, yang tertinggi dalam sejarah (Malaysia),” katanya.

Pada bulan lalu, Anwar mengumumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.

Anwar berkata, daripada jumlah itu, pelaburan asing ialah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Macquarie, Shemara Wikramanayake di Australia, hari ini. Foto Bernama

Pada 2023, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia berjumlah US$18.57 bilion (RM84.64 bilion), dengan Australia menjadi rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia.

Sehingga Disember tahun lalu, Australia mempunyai pelaburan diluluskan di Malaysia yang melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan sebanyak 366 projek. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *