PM Anwar Berlepas Ke UAE Perluas Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan bacaan doa sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim
ABU DHABI, 12 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) dan menyampaikan ucapan semasa dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan delegasi berlepas petang tadi dan dijangka tiba di UAE pada 8 malam waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia) hari ini untuk lawatan kerja selama tiga hari sehingga Selasa
Menurut Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Perdana Menteri akan menyertai kira-kira 12 ketua negara asing dan ia merupakan peluang keemasan bagi Malaysia menguar-uarkan kepengerusian ASEAN kepada khalayak lebih ramai.

“Ini forum pertama Perdana Menteri boleh uar-uarkan kepengerusian ASEAN kepada khalayak lebih luas. Ada 12 ketua negara akan sertai ADSW,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Menurutnya, antara ketua negara asing yang akan hadir ke ADSW adalah dari Azerbaijan, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Rwanda, Kepulauan Seychelles, Uganda, Uzbekistan, Albania, Finland, Itali dan New Zealand.

“Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara,” tambahnya.
Tengku Sirajuzzaman berkata Anwar dijadual bertemu rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum di Dubai pada Isnin.
“Perbincangan dijangka akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data.
“Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan,” katanya.
Selesai tugasan rasmi di sini, Anwar dijadual berlepas ke United Kingdom (UK) bagi meneruskan program rasmi beliau di negara itu sebagai usaha untuk meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik negara dengan rakan antarabangsa utama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


