PM Anwar Bawa Mandat Malaysia Bangkit Isu Kekejaman Israel Pada Sidang Kemuncak Di Riyadh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para pelajar Malaysia ketika mengadakan lawatan ke bangunan asrama pelajar Negeri Pulau Pinang Universiti Al-Azhar Al-Sharif pada lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir di Pusat Persidangan Al Azhar pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KAHERAH, 10 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam, di Riyadh, Arab Saudi, esok bagi membincangkan serangan serta kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan.

Perdana Menteri berkata, persidangan itu diharap dapat mencapai kata sepakat sesama negara Islam bagi menyelesaikan konflik yang berterusan di Gaza, Palestin.

Beliau berkata, keganasan dilakukan rejim Israel tanpa kawalan yang seolah-olah mahu melenyapkan penduduk Islam di Gaza sangat keterlaluan, malah tidak pernah ada negara di dunia yang melanggar semua peraturan ditetapkan tetapi tidak dikenakan tindakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para pelajar Malaysia ketika mengadakan lawatan ke bangunan asrama pelajar Negeri Pulau Pinang Universiti Al-Azhar Al-Sharif pada lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir di Pusat Persidangan Al Azhar pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Susulan itu, katanya, beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi berlepas ke Riyadh pada malam ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu untuk membincangkan perkembangan terakhir yang berlaku di Gaza, Palestin.

“Esok kita adakan mesyuarat tergempar negara Islam-Arab di Riyadh, Arab Saudi. Saya dan Presiden El-Sisi akan hadir dan kita harap muktamar ini dapat membincangkan isu keganasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kita lihat, rejim Israel seolah-olah mahu melenyapkan rakyat Palestin daripada bumi Gaza dan melakukan apa yang disebut sebagai genosid. Belum ada dalam sejarah dunia, satu negara boleh melanggar semua peraturan dan undang-undang, membunuh kanak-kanak dan wanita, melakukan kekejaman dengan merampas tanah, menakluki sebagai penjajah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama para pelajar Malaysia ketika mengadakan lawatan ke bangunan asrama pelajar Negeri Pulau Pinang Universiti Al-Azhar Al-Sharif pada lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir di Pusat Persidangan Al Azhar pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Insya-Allah, esok, saya akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia sewaktu Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam itu bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan.

“Sebenarnya, Malaysia sudah cuba menyampaikan pandangan kepada rakan kita di negara Arab dan Islam yang disebut sebagai Global South atau Pakatan Negara Selatan untuk mendesak Israel disingkir sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya berucap di hadapan lebih 1,500 kakitangan dan pelajar Universiti Al-Azhar Al-Sharif, pada program syarahan umum di sini, hari ini.

Turut hadir mendengar syarahan bertajuk Teguh Bersama: Visi Bagi Umat Islam Menerusi Pemerkasaan Teknologi, Sosial dan Ekonomi itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama para pelajar Malaysia ketika mengadakan lawatan ke bangunan asrama pelajar Negeri Pulau Pinang Universiti Al-Azhar Al-Sharif pada lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir di Pusat Persidangan Al Azhar pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pesawat khas bawa PM berlepas jam 1.17 pagi waktu Malaysia

Pesawat khas membawa Anwar berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, di sini menuju ke Riyadh, Arab Saudi pada kira-kira jam 7.17 malam tadi (jam 1.17 pagi di Malaysia).

Perdana Menteri akan kembali ke Kaherah pada malam esok bagi meneruskan beberapa program rasmi yang dijadualkan bersama delegasi Malaysia dan Mesir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di pejabat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif sempena lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pada 1 November lalu, Anwar mengesahkan menerima undangan daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi menghadiri persidangan khas itu di Riyadh.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berterima kasih kepada Kerajaan Mesir yang banyak membantu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin dalam usaha meringankan beban dihadapi rakyat Gaza yang ditindas dan dizalimi rejim Zionis.

Jadual padat menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja lebih masa hingga meneliti dokumen penting ketika dalam penerbangan ke Kaherah pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, Kerajaan Mesir juga mengirim dua pesawat tentera ke Rafah untuk mengambil pesakit Palestin dan dihantar menjalani rawatan di hospital tentera di Malaysia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *