PM Anwar Arah Setiap Agensi Kemuka Kaedah Tambah Baik AP, IP

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 15 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap agensi kawal selia berkaitan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisis risiko import.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini.

“MTEN hari ini membincangkan mengenai penambahbaikan tatakelola Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara.

“Adalah penting bagi kerajaan mencari satu formula yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna, tetapi juga kepada pengeluar tempatan terutama dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar turut menyarankan Ketua Audit Negara melaksanakan proses audit untuk sektor terpilih bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat ditetapkan.

Selain itu, beliau turut mengarahkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tatakelola dan pengimportan barangan halal.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, bagi memperkukuhkan keberkesanan perbincangan dan keputusan, beliau bersetuju menambah ahli tetap MTEN.

Mereka adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Terkait dengan pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang saya luncurkan pada 2 Januari lalu, mesyuarat membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan.

“Ini terutamanya berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *