PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan TPM Zahid, Hajiji Di Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hajiji Noor di Perdana Putra, Putrajaya pada 18 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 18 Ogos – Pertemuan antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya Datuk Seri Zahid Hamidi dari Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Hajiji Noor dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni.
Berkongsi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata pertemuan dalam suasana itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Putrajaya dan Sabah.
Menurutnya, kestabilan politik menjadi asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.
“Saya berharap semangat muafakat ini akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Pertemuan itu menarik perhatian dalam konteks pembentukan kerjasama menjelang PRN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pada 3 Ogos, Anwar dilaporkan berkata perbincangan sedang berlangsung antara BN, GRS dan PH bagi mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN Sabah.
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dan sebarang pakatan hanya dibentuk selepas PRN terbabit.
Pendirian Bung Moktar itu jika diteruskan bakal menyebabkan pertembungan di antara dua gabungan berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
