PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Pemimpin Islam Laos Malam Ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kiri) mengadakan perbincangan dengan pemimpin pertubuhan Islam Laos dalam rangka lawatannya selama dua hari ke negara itu yang bermula hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim.

VIENTIANE, 26 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan agenda lawatan rasmi dua hari beliau ke Laos hari ini dengan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin pertubuhan Islam di negara ini.

Perdana Menteri yang tiba di ibu negara Laos kira-kira jam 5.50 petang tadi, bertemu dengan penasihat eksekutif Persatuan Mempromosikan Perpaduan, Zakkir Malimar serta Naib Presiden Pertubuhan Islam Laos, Imam Sofi Sengsone dan Naib Presiden pertubuhan itu, Med Komphavong, di sebuah hotel di sini.

Turut hadir pembantu naib presiden pertubuhan itu Azizullah Khan Thamahaksa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kiri) mengadakan perbincangan dengan pemimpin pertubuhan Islam Laos dalam rangka lawatannya selama dua hari ke negara itu yang bermula hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim.

Sesi yang bermula jam 8.10 malam itu berlangsung selama kira-kira 40 minit dengan perbincangan berkisar kepada isu-isu ummah tempatan.

Zakkir ketika ditemui selepas mesyuarat tertutup itu berkata antara yang dibincangkan adalah mengenai terjemahan al-Quran ke dalam bahasa Lao, pendidikan untuk kanak-kanak Islam Laos, pertukaran ilmu dan budaya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi datang ke Laos. Kami amat berbangga dengan kesudian seorang pemimpin peringkat tinggi untuk berjumpa dengan kami.

“Alhamdulillah, ini adalah kali pertama kami menerima maklum balas positif daripada mana-mana negara Islam. Kami amat berbangga dengan kehadiran Perdana Menteri (Malaysia) di sini,” katanya kepada media Malaysia.

Sementara itu Azizullah berkata Anwar sangat berminat dan positif untuk mengetahui lebih lanjut mengenai masyarakat dan organisasi Islam di Laos.

“Beliau bertanya kepada kami mengenai keadaan kami di sini. Beliau juga bertanya sekiranya terdapat terjemahan al-Quran di sini dan dia berhasrat untuk membantu walaupun sebelum kami meminta sebarang bantuan,” katanya.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud.

Anwar kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Laos mulai hari ini, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara anggota ASEAN itu selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.

Semoga dengan pertemuan antara Perdana Menteri dan pimpinan Islam di Laos akan dapat membantu meningkatkan syiar Islam di negara berkenaan yang menjadi sebahagian daripada anggota negara ASEAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *