PL: Welbeck Pemusnah ‘Kebangkitan’ Liverpool

Pemain Brighton, Danny Welbeck menjaringkan gol pertama pasukannya ketika berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada 21 Mac 2026. Foto Reuters

BRIGHTON, 21 Mac – Danny Welbeck menjaringkan dua gol untuk membantu Brighton memusnahkan Liverpool 2-1, sekali gus memberi tamparan hebat buat The Reds dalam usaha merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad kendalian Arne Slot memasuki gelanggang perlawanan dengan ‘kebangkitan’ selepas membelasah Galatasaray 4-0 pada pertengahan minggu lalu untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Namun, satu gol pada setiap babak daripada Welbeck memberikan pasukan tuan rumah kemenangan keempat dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris, sekali gus mengekalkan harapan mereka untuk beraksi di pentas Eropah musim depan.

Pemain Brighton, Danny Welbeck menjaringkan gol pertama pasukannya ketika berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada 21 Mac 2026. Foto Reuters

Liverpool tidak menurunkan penjaga gol, Alisson Becker dan penyerang, Mohamed Salah pada aksi yang berlangsung di Stadium Amex itu.

Mereka turut menerima tamparan awal apabila penjaring terbanyak Hugo Ekitike terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas dikasari bekas pemain Liverpool, James Milner.

Juara bertahan itu ketinggalan apabila Welbeck menjaringkan gol ke-11 dalam liga musim ini pada minit ke-14 dengan menanduk masuk bola hantaran lintang Diego Gomez di depan pintu gol.

Gol itu menjadikan penyerang berusia 35 tahun yang pernah beraksi bersama Manchester United dan Arsenal itu sebagai penjaring terbanyak bagi pemain England dalam liga musim ini.

Liverpool mula menemui rentak selepas ketinggalan dan Alexis Mac Allister hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-22, namun penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen bertindak cemerlang untuk menyelamatkan gawangnya.

Pelawat bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi Milos Kerkez yang mengambil kesempatan atas kesilapan kapten Brighton, Lewis Dunk yang menanduk bola ke arah penjaga gol tanpa melihat keadaan di belakangnya.

Pemain pertahanan Hungary itu membuat larian pantas dan melakukan penyudah tenang dengan melambungkan bola melepasi Verbruggen.

Brighton memulakan separuh masa kedua dengan baik dan kembali di hadapan pada minit ke-56, sekali lagi menerusi Welbeck.

Hantaran tepat Yankuba Minteh disambut Jack Hinshelwood sebelum disudahkan Welbeck, dengan jaringan itu disahkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool berada di tangga kelima Liga Perdana, dua mata di belakang Aston Villa (keempat) dan satu mata di hadapan Chelsea (keenam), dengan lima pasukan teratas hampir pasti layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Usaha Liverpool mempertahankan kejuaraan liga sudah musnah lebih awal musim ini, namun mereka masih bersaing dalam Liga Juara-Juara dan bakal berdepan Manchester City dalam suku akhir Piala FA awal bulan depan. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *