PL: Pecat Staf Lebih 400 Orang Tapi United Tetap Rugi Besar

Kekalahan di tangan musuh setempat, Manchester City menyakiskan tindakan Sir Jim Ratcliffe kurang berkesan setelah rugi beratus juta pound dua tahun lalu. Foto Getty Images

MANCHESTER, 18 Sep – Biarpun melakukan pemotongan besar-besaran musim ini, Manchester United tetap mencatat kerugian tahun lalu walaupun sudah memecat bekas pengurus Erik ten Hag dan ketua jurulatih Dan Ashworth serta memotong 400 jawatan kakitangan belakang tabir.

Difahamkan, langkah penjimatan kos Sir Jim Ratcliffe menyaksikan pekerja di Old Trafford dan pusat latihan Carrington kehilangan pekerjaan, manakala makan tengah hari percuma untuk staf yang kekal turut ditamatkan.

Akaun kewangan kelab bagi musim 2024-25 menunjukkan ia membantu menjimatkan 51 juta pound (RM289 juta) daripada pembayaran gaji.

Perbelanjaan musim panas Manchester United mencecah RM1.1 bilion tetapi pasukannya masih belum mencatat sebarang kemenangan pada musim ini apabila tewas di tangan Arsenal dan seri dengan Fulham.

Namun, United tetap terpaksa membayar pampasan besar berjumlah 36.6 juta pound (RM208 juta) kepada staf kanan yang dipecat, dengan sebahagian besarnya kepada Ten Hag, barisan kejurulatihannya, dan Ashworth yang hanya bertahan lima bulan.

United melaporkan jumlah pendapatan rekod 665 juta pound (RM3.77 bilion), termasuk 160.3 juta pound (RM909 juta) hasil tiket Old Trafford, itu pun didorong kenaikan harga tiket.

Pendapatan komersial melonjak ke 333.3 juta pound (RM1.89 bilion) hasil musim pertama perjanjian lima tahun jersi dengan Snapdragon dan kerjasama baharu termasuk Coca-Cola.

Bagaimanapun, selepas menyiapkan projek naik taraf Carrington bernilai 50 juta pound (RM283 juta), kos tetap mengatasi pendapatan dengan kerugian pra-cukai sebanyak 39.6 juta pound (RM224 juta), manakala kerugian operasi direkodkan pada 18.4 juta pound (RM104 juta).

Ia lebih baik berbanding kerugian operasi 69.3 juta pound (RM392 juta) pada tahun sebelumnya yang banyak disebabkan potongan gaji skuad utama sebanyak 33 peratus bernilai 51.5 juta pound (RM292 juta) selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara (UCL).

Sepanjang setahun lalu, jumlah kakitangan United dikurangkan daripada kira-kira 1,100 kepada hanya 700 orang – pengurangan lebih sepertiga. Pihak kelab menegaskan program “penstrukturan semula” itu penting demi masa depan kelab, menjadikan organisasi lebih efisien dan mampan.

Kepimpinan Old Trafford tetap menegaskan misi utama adalah kejayaan di padang bagi mengembalikan kelab ke Liga Juara-Juara.

Perbelanjaan besar-besaran Sir Jim Ratcliffe gagal menyaksikan peningkatan United biarpun membuang 400 pekerja sejak awal tahun ini.

Mereka turut merujuk kepada perbelanjaan awal musim panas berjumlah 215 juta pound (RM1.22 bilion) bagi mendapatkan Matheus Cunha, Bryan Mbeumo, Benjamin Sesko, Senne Lamens dan Diego Leon.

Ketua eksekutif Omar Berrada dalam kenyataan rasmi berkata: “Kami bekerja keras memperbaiki kelab dalam semua aspek. Di atas padang, kami gembira dengan tambahan skuad lelaki dan wanita musim panas ini sebagai pelaburan jangka panjang.

“Di luar padang, kami keluar daripada tempoh perubahan struktur dan kepimpinan dengan organisasi yang lebih segar, ringkas dan bersedia mencapai objektif sukan dan komersial kami.”


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *