PL: Liverpool Makin Berbisa Dalam Situasi ‘Bola Mati’

Kemenangan 5-2 Liverpool ke atas West Ham United diraikan Cody Gakpo pada aksi Liga Perdana Inggeris (PL) pada 28 Februari 2026. Foto Liverpool FC

LIVERPOOL, 28 Feb – Arne Slot menyifatkan peningkatan ketara Liverpool dalam situasi bola mati sebagai sesuatu yang “kembali normal” selepas membenam West Ham United 5-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Untuk kali kedua dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, sebuah pasukan berjaya menjaringkan tiga gol daripada sepakan penjuru dalam separuh masa pertama apabila jaringan Hugo Ekitike, Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister meletakkan juara England itu di kedudukan selesa.

Trend berkenaan turut disokong jaringan Van Dijk ketika menentang Sunderland dan AFC Bournemouth sebelum ini, selain gol tandukan Ibrahima Konate ketika menewaskan Newcastle United 4-1.

Virgil van Dijk mengepalai kemenangan besar Liverpool 5-2 ke atas West Ham United pada 28 Februari 2026. Foto Liverpool FC

Malah, Dominik Szoboszlai turut membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik ketika tewas 1-2 kepada Manchester City.

Liverpool sebelum ini mencatat statistik terburuk dalam liga dari segi perbezaan jaringan dijaringkan dan dibolosi menerusi bola mati pada penghujung 2025, namun kini muncul pasukan terbaik dalam aspek sama bagi 2026.

“Ini sangat menggembirakan kerana pertama, itulah sebab kami menang. Kedua, ramai berkata kami bermain baik, tetapi pada pandangan saya kami pernah bermain lebih baik ketika tewas dan ketika dibolosi daripada bola mati,” kata Slot.

Aksi menarik pemain Liverpool yang menewaskan West Ham United 5-2 di Anfield pada 28 Februari 2026. Foto Liverpool FC

“Pada separuh pertama musim, hampir setiap bola mati yang kami lepaskan berakhir dengan gol. Kini kami mula menjaringkan gol daripada situasi itu dan keadaan nampak lebih cerah.”

Slot bagaimanapun merendahkan impak perubahan selepas kelab memecat jurulatih bola mati, Aaron Briggs, hujung tahun lalu.

“Kami sebenarnya mencipta banyak peluang pada separuh pertama musim, cuma terlalu banyak yang tidak menjadi gol. Mungkin ada satu atau dua perincian kecil berubah dari segi bertahan dan menyerang, tetapi sebab terbesar adalah keadaan kembali normal,” jelasnya.

Kemenangan itu melonjakkan Liverpool ke tangga kelima liga sekali gus berada di posisi terbaik untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Kedudukan lima teratas hampir pasti menjamin tiket ke saingan elit Eropah itu susulan prestasi cemerlang kelab-kelab England dalam pertandingan benua musim ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *