PL: Arteta Dedah Pemain Dilanda Virus

Pemain Arsenal, Gabriel Martinelli meraikan gol ketiga bersama rakan sepasukan ketika menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti GTech, London, awal pagi tadi. Foto Reuters
LONDON, 1 Jan – Mikel Arteta mendedahkan persiapan Arsenal sebelum menang 3-1 di Brentford dijejaskan oleh virus yang melanda skuadnya.
Beberapa pemain bintang Arsenal jatuh sakit menjelang pertembungan penting Liga Perdana Inggeris (PL) awal pagi tadi.
Penyerang Jerman, Kai Havertz dihantar pulang kerana virus, manakala pemain tengah England, Declan Rice hanya mampu tampil dari bangku simpanan pada babak kedua.
Martin Odegaard dilapor bergelut dengan virus itu menjelang sepak mula dan sekalipun dia mampu memulakan perlawanan, kapten Arsenal itu melakukan kesilapan yang menjurus kepada gol pembukaan Bryan Mbeumo dan digantikan pada separuh masa kedua.
Namun The Gunners bangkit memukau di Stadium Komuniti GTech ketika mereka tidak menghiraukan wabak penyakit itu untuk kembali bersaing dalam perebutan kejuaraan.
Gol daripada Gabriel Jesus, Mikel Merino dan Gabriel Martinelli memastikan Arsenal tidak tergelincir.
“Ia menjejaskan pemain di dalam dan di luar padang,” kata Arteta selepas pasukannya melonjak ke tangga kedua dan merapatkan kedudukan kepada enam mata di belakang pendahulu Liverpool, yang beraksi kurang satu perlawanan.
“Ia tidak terlalu serius. Tetapi ia bukan satu keadaan yang ideal. Berhubung dengan gejala, dengan Kai ia amat jelas. Dia tidak berasa sihat sama sekali. Dia mempunyai gejala yang sangat jelas jadi jauhinya, letakkannya ke dalam kereta dan kembali ke London.
“Perkara sebegini berlaku. Dalam tempoh ini, selalu ada perkara yang menghantui anda, jangkitan, virus, jadi saya cuba menangguhkan kesebelasan utama selewat mungkin kerana anda bangun pagi dan malangnya menerima kejutan seperti ini.”
Arteta berharap virus itu akan reda bagi kunjungan pasukannya ke Brighton, Sabtu ini. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
