PL: Arsenal Berjaya Sekat Kemaraan Manchester City

Keputusan 1-1 memastikan Arsenal menyekat kemaraan City yang terus tercicir lima mata di belakang pendahulu liga, Liverpool pada 21 September 2025. Foto Reuters
LONDON, 21 Sep – Arsenal berjaya mengelak kekalahan di laman sendiri sekali gus menyekat kemaraan Manchester City apabila meraih satu mata berharga selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (PL) di Stadium Emirates, di sini sebentar tadi.
Jaringan pemain Brazil Gabriel Martinelli hadir pada minit ke-93, sekali gus membatalkan kelebihan awal pelawat yang diperoleh menerusi Erling Haaland seawal minit kesembilan hasil serangan balas pantas yang dimulakan Tijjani Reijnders.
Reijnders bijak melepasi kawalan di bahagian tengah sebelum melorongkan bola kepada Haaland yang tenang menyudahkan peluang di depan penjaga gol Arsenal, David Raya.

Arsenal bergelut untuk mencipta peluang pada babak pertama namun dua pertukaran dilakukan Mikel Arteta di babak kedua termasuk kemasukan Eberechi Eze nyata memberi impak positif.
Eze hampir menyamakan kedudukan apabila memaksa Gianluigi Donnarumma melakukan satu aksi menyelamat cemerlang, ketika Arsenal mula mendominasi permainan dengan tekanan tinggi ke atas pertahanan City yang dilihat lebih pasif berbanding kebiasaan.
City tampak seakan mampu bertahan sehingga tamat perlawanan namun Martinelli menyentak harapan mereka apabila bijak menyempurnakan hantaran lambung Eze sebelum berjaya melepasi kawalan Donnarumma pada minit ke-93.
Keputusan seri ini juga membantu The Gunners merampas kembali tangga kedua daripada Tottenham manakala City terus tercicir lapan mata di belakang pendahulu Liverpool yang menang kesemua lima perlawanan liga setakat ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
