Piala FA Inggeris: Tiga Gol Benam Brighton Lolos Liverpool Ke Pusingan Kelima

Mohamed Salah sekali lagi menjadi watak penting membantu Liverpool membenam Brighton 3-0 pada aksi Piala FA Inggeris pusingan keempat di Anfield pada 14 Februari 2026. Foto Liverpool FC
LIVERPOOL, 15 Feb – Tiga gol Liverpool ke atas Brighton membolehkan kelab dari Merseyside itu mara ke pusingan kelima Piala FA Inggeris manakala Newcastle turut mara setelah menundukkan Aston Villa 3-1.
Curtis Jones yang beraksi di posisi bek kanan akibat krisis kecederaan pertahanan membuka jaringan apabila meluru masuk ke kotak penalti untuk menyempurnakan hantaran Milos Kerkez.
Mohamed Salah kemudian memainkan peranan penting pada separuh masa kedua. Hantaran lambungnya membuka ruang buat Dominik Szoboszlai meledak gol kedua sebelum penyerang Mesir itu menjaringkan gol ke-252 bersama Liverpool menerusi sepakan penalti.

Brighton yang sebelum ini mengejutkan Manchester United pada pusingan ketiga gagal menandingi rentak juara England itu dan tersingkir tanpa mampu memberi ancaman besar.
Dalam perlawanan lain, Sandro Tonali menjaringkan dua gol ketika Newcastle bangkit menewaskan Aston Villa yang bermain 10 orang, 3-1.
Villa terlebih dahulu di depan menerusi Tammy Abraham, namun perlawanan berubah selepas penjaga gol Marco Bizot dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Jacob Murphy dan menafikan peluang jaringan jelas.
Kontroversi turut tercetus apabila pengadil menghadiahkan sepakan percuma kepada Newcastle meskipun bola terkena tangan Lucas Digne di dalam kotak penalti. Tanpa penggunaan VAR pada peringkat ini, keputusan tidak dapat disemak.
Wayne Rooney menyifatkan keputusan itu sebagai “antara yang paling buruk pernah dilihat”, namun Newcastle tetap menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Tonali yang terkena pertahanan sebelum menewaskan Emiliano Martinez.
Tonali kemudian menjaringkan gol kedua menerusi rembatan jarak jauh sebelum Nick Woltemade menamatkan kemarau gol 15 perlawanan bagi memastikan Newcastle ke kelompok 16 terakhir.
Newcastle memburu kejuaraan pertama Piala FA sejak tahun 1955.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
