Piala Dunia 2026: Iraq Musnahkan Impian Indonesia

Pemain Iraq, Zidane Iqbal meraikan jaringannya di depan penyokong Indonesia yang kecewa ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia di King Abdullah Sport City, Jeddah pada 11 Oktober 2025. Foto Reuters

JEDDAH, 12 Okt – Hasrat Indonesia mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026 musnah menerusi jaringan tunggal Zidane Iqbal memastikan Iraq menewaskan republik itu 1-0 sekali gus mengekalkan harapan mereka untuk layak ke kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak 1986.

Bekas pemain tengah Manchester United itu, yang kini beraksi bersama Utrecht di liga Belanda, menjaringkan gol kemenangan 14 minit sebelum tamat selepas dimasukkan pada awal babak kedua skuad bimbingan Graham Arnold.

Kemenangan itu membolehkan Iraq menempah pertemuan penentuan dengan Arab Saudi Selasa ini, dengan pemenang perlawanan itu akan mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan tewas akan meneruskan perjuangan ke pusingan play-off.

Pemain Iraq, Zidane Iqbal meraikan jaringannya di depan penyokong Indonesia yang kecewa ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia di King Abdullah Sport City, Jeddah pada 11 Oktober 2025. Foto Reuters

Indonesia pula tersingkir selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut.

“Kami sedar perlawanan ini sukar dengan cuaca yang panas, tetapi kemenangan 1-0 ini memberi keyakinan besar kepada kami,” kata Iqbal.

“Menentang Arab Saudi nanti pasti getir, tetapi kami yakin mampu menang.”

Indonesia bermula lebih garang apabila Kevin Diks hampir membuka jaringan menerusi tandukan awal, diikuti percubaan jarak jauh Thom Haye yang sedikit tersasar.

Penyerang muda Mauro Zijlstra pula hampir mencipta jaringan sulung antarabangsa tetapi percubaannya dinafikan terjahan tepat pertahanan Iraq, Manaf Younis ketika dia hampir menyudahkan hantaran Haye di depan gawang.

Iraq hanya benar-benar menguji benteng Indonesia pada minit ke-29 menerusi tandukan Sherko Karim yang tinggi melepasi palang, manakala anak buah Patrick Kluivert menguasai babak pertama dengan baik tetapi gagal menjaringkan gol.

Kesilapan besar pertahanan Rizky Ridho pada minit ke-76 akhirnya membawa padah apabila bola yang dirampas dimanfaatkan Iqbal untuk melepaskan rembatan leret ke penjuru bawah gawang dari luar kotak penalti.

Suasana tegang tercetus menjelang wisel penamat apabila penyokong Indonesia melemparkan botol air minuman ke tengah padang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil China, Ma Ning.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *