Petanda Baik Bagi 2024, Defisit Fiskal Berjaya Dicapai Pada 2023

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) merupakan antara nadi ekonomi penting negara dalam membantu meningkatkan eksport produk tempatan ke seluruh dunia.

KUALA LUMPUR, 29 FebPengumuman kerajaan yang berjaya mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM91.4 bilion pada tahun 2023 iaitu lebih rendah berbanding 5.6 peratus atau RM99.5 bilion yang dicatat pada 2022, disifatkan petanda baik bagi tahun ini.

Ini merupakan pencapaian baik bagi menghadapi tahun 2024 berikutan disiplin kewangan kerajaan yang semakin meningkat.

Menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, paras defisit fiskal diunjur terus berkurang kepada 4.3 peratus pada 2024 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 melibatkan pinjaman baharu berjumlah RM85.4 bilion.

“Dalam hal ini, kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat bagi memastikan kemampanan kewangan jangka masa sederhana dan panjang,” kata MoF bagi menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran).

Ronald ingin tahu perincian mengenai kedudukan terkini hutang kerajaan, pinjaman baharu serta kadar defisit fiskal sehingga kini.

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) merupakan antara nadi ekonomi penting negara dalam membantu meningkatkan eksport produk tempatan ke seluruh dunia.

Pada masa sama, jumlah keseluruhan hutang kerajaan sehingga akhir Disember 2023, adalah sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada KDNK.

Pertumbuhan hutang pada tahun 2023 ialah sebanyak 8.6 peratus lebih rendah berbanding tahun 2022 yang telah mencatatkan 10.2 peratus.

Tambah kenyataan itu, pecahan hutang kerajaan terdiri daripada:

a) Hutang dalam negeri :RM1.14 trilion atau 97.5 peratus dan

b) Pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.8 bilion atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang kerajaan.

“Kedudukan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan pada akhir-Disember 2023 pula adalah sebanyak RM1.53 trilion atau 84 peratus daripada KDNK. Jumlah ini meliputi hutang kerajaan berjumlah RM1.17 trilion, komitmen jaminan berjumlah RM226.1 bilion dan liabiliti lain berjumlah RM133.7 bilion,” kata MoF.

Dari segi had statutori pula, instrumen hutang yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 62.1 peratus daripada KDNK, masih di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu 65 peratus.

Manakala pinjaman luar pesisir pula berjumlah RM29.9 bilion dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) berjumlah RM5.5 bilion, kedua-duanya juga di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu masing-masing RM35 bilion dan RM10 bilion.

“Kerajaan kekal komited untuk menurunkan paras hutang seperti sasaran yang telah ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu paras keseluruhan hutang di bawah 60 peratus daripada KDNK yang perlu dicapai dalam jangka masa sederhana,” menurut MoF. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *