‘Pesan PM Anwar Kepada MAB Dan Malaysia Airlines…’

Harapan menggunung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melihat MAS dan KLIA kembali disegani dunia dengan perkhidmatan terbaik selain mampu menjadi 10 syarikat penerbangan terbaik dunia dalam beberapa tahun lagi. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SEPANG, 26 Apr – Ketika merasmikan pelancaran kampus dan majlis pecah tanah Pusat Simulasi Penerbangan Akademi MAB di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbas kembali sejarah kecemerlangan ikon penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) pada tahun 90-an, sambil menitip amanat paling mujarab bahawa pihak pengurusan perlu belajar daripada kesilapan lepas agar dapat memberi komitmen dari segi tatakelola, integriti dan nilai.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sehingga kini masih ada pihak tertentu termasuk pembangkang mempertikai peranan dan pendirian kerajaan yang menekankan aspek tatakelola, ketelusan malah memperlekehkan usaha memerangi rasuah.
Ujar Anwar, keutamaan terhadap gedung yang indah, pejabat yang luar biasa hebat, pameran dan lukisan terkenal di dunia dalam keadaan syarikat itu hampir muflis adalah tidak masuk akal sekiranya pengurusan tidak dipantau dan tiada komitmen dari segi tatakelola dan integriti.
Anwar turut menggesa agensi yang terlibat dalam pengurusan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dapat memberikan tumpuan kepada syarikat penerbangan negara itu bagi memastikan tidak wujud lagi masalah ketirisan sebagaimana pernah terjadi sebelum ini.

Sewajarnya pihak Kementerian Pengangkutan (MOT), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Malaysia Aviation Group (MAG) perlu memperkukuhkan proses tatakelola dalam syarikat penerbangan itu.
“Saya harap kerjasama MAG, Khazanah dan MOT diteruskan kerana kesediaan kita kerja sebagai pasukan dengan prinsip ketelusan mengelak pembaziran. Kita boleh selamatkan negara dan beri habuan dan pulangan upah kepada staf.
”Jangan kita remehkan soal ini kerana (pekerja) ada keluarga dan berhak diberi perhatian dan pertimbangan. Oleh kerana keputusan kita cermat, berhemah, urus dengan baik dan telus akan menjamin masa depan lebih baik kepada mereka,” katanya pada majlis itu.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fool dan Pengerusi MAG Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Dalam pada itu, Anwar berkata pentadbiran MADANI wajib memperbetulkan amalan tatakelola agar memberi MAG membetulkan kesilapan dahulu dan menaikkan keupayaan serta imej syarikat.
Sementara itu, Anwar berkata kampus dan Pusat Simulasi Penerbangan MAB bukan sahaja memberi latihan canggih dan memenuhi pelbagai keperluan tetapi mampu menjadi pusat melatih syarikat penerbangan luar negara sekali gus memberikan kepercayaan kepada keupayaan negara.
“Saya harap latihan itu diberikan penekanan, selain daripada latihan teknikal simulasi tentunya ada kepakaran. Sekarang kerana teknologi digital, soal inovasi moden itu menuntut kita sentiasa mengikuti perkembangan.

“Jadi saya harap MAG dan Akademi (MAB) terus memantau dan tidak terikat dengan kerangka lama. Jadi harus ada tenaga baharu yang punyai kelebihan lebih dari sudut transformasi digital dan inovasi yang boleh melonjakkan keupayaan,” katanya dipetik The Sun.
Tidak mustahil dengan perubahan drastik yang dilakukan, MAS kembali disegani dunia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali dalam senarai 10 lapangan terbang terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Masakan kita hanya melihat Qatar Airlines atau Singapore Airlines mendominasi syarikat penerbangan terbaik dunia dan Hamad International Airport atau Changi International Airport sedangkan MAS dan KLIA mempunyai kemudahan bertaraf dunia?
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
