Peruntukan: PM Anwar Gesa MP Pembangkang Terus Bincang Dengan TPM Fadillah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 4 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta ahli parlimen pembangkang untuk terus berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Kedua, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung permohonan peruntukan untuk kawasan mereka.

Perdana Menteri berkata perbincangan mengenai peruntukan kawasan masing-masing perlu dibuat dengan Timbalan Perdana Menteri Kedua itu.

Mengulas mengenai tindakan ahli parlimen pembangkang yang mahu menghentikan rundingan berhubung peruntukan untuk kawasan mereka, Anwar berkata; “Tiada, bincang dengan Datuk Seri Fadillah.”

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, berkata pembangkang tidak akan meneruskan permohonan bayaran peruntukan Ahli Parlimen kerana mendakwa syarat yang diminta kerajaan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini. Foto Bernama

Takiyuddin berkata, beliau sudah dua kali bertemu Fadillah berhubung perkara tersebut.

“Saya mengesahkan, saya lebih daripada sekali berjumpa dengan TPM2 yang dikatakan diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk bincangkan peruntukan ini.

“Apa yang diminta TPM2 ini ialah supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka memberikan jaminan tertentu dan sebagainya,” katanya dalam sidang media semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, keluarga harus menjadi asas dalam membina masyarakat dan menjayakan negara MADANI.

Katanya, nilai keyakinan, akhlak, ihsan dan kemanusiaan dipupuk daripada latihan dan keluarga.

“Kemudian dipupuk minat untuk belajar dan menimba ilmu, dari keluarga, …minat untuk menghayati prinsip agama, dari keluarga.

“Tradisi dan budaya kita daripada awal dipupuk supaya bermula dengan kekuatan keyakinan iaitu akidah sebagai garis dan landasan untuk mengembangkan ilmu dalam bidang lain,” katanya.

Anwar berkata, nilai generasi awal yang kasih kepada negara dan meletakkan bahawa negara boleh diangkat sekiranya diurus dengan baik, juga bermula dari keluarga.

“Orang menilai keupayaan ketua masyarakat, baik penghulu atau ketua kampung, apa lagi menteri, dinilai juga dari sudut keupayaan mengawal, mendidik, mengasuh dan mengasihi keluarga.

“Sebagai contoh, kalau keluarganya porak peranda, sukar nak dibentuk masyarakat, …kalau keluarganya porak peranda, sukar diatur negara. Kerana orang melihat keupayaan itu,” katanya.

Bulan November setiap tahun diisytiharkan sebagai Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan sejak tahun 2012, bertujuan menggalakkan pembabitan semua pihak untuk untuk mengukuhkan institusi keluarga dalam sosio-ekonomi negara.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *