Pertimbang Bantuan Aidilfitri Bagi Kakitangan Agensi, GLC – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA, 2 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempertimbangkan bantuan Aidilfitri kepada kakitangan masing-masing.

“Kalau dah beri okay, kadang-kadang masuk skim (gaji). Kalau belum, berilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah kelolaan kita secara keseluruhan.

“Ini supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban menyambut Aidilfitri,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Semalam, beliau mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini, selain semua pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar juga menyarankan institusi perbankan memberi pertimbangan sama dengan menyalurkan bantuan kepada kakitangan mereka untuk menyambut hari raya.

“Bank-bank, boleh beri pertimbangan, atas (bergaji besar) tak boleh kita bantu, tapi (kakitangan) tengah dan bawah. Belajar daripada keputusan kita (kerajaan), (Gred) 56 ke bawah.

“Maknanya kita bantu, tapi kita juga tahu bahawa bantuan itu lebih kepada pegawai peringkat tengah dan bawah,” katanya.

Perdana Menteri mengakui keputusan menyalurkan BKK Aidilfitri kepada penjawat awam adalah tepat kerana masih ada kakitangan kerajaan peringkat bawah mengeluh dengan peningkatan kos sara hidup, terutama bagi menyambut Aidilfitri.

“Malam kelmarin, saya fikir (mengenai BKK) dan nak tidur pun terganggu. Jadi, saya fikir bagi sikit (bantuan), kurang-kurangnya meredakan sikit (beban) dan kerja pun bersemangat. Harap berbelanja dengan cermat dan berhemah,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

‎Ikuti Harapan MADANI di saluran WhatsApp sekarang:

_*Follow the Harapan MADANI channel on WhatsApp now:

https://whatsapp.com/channel/0029Va9BCwm6RGJ7wKgHAl16

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *