Perbualan Telefon PM Anwar-Presiden Trump Bincang Isu Thailand-Kemboja

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkenaan perkembangan keamanan Thailand-Kemboja pada 14 November 2025. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Nov – Thailand dan Kemboja telah mengundurkan pasukan tentera masing-masing dari kawasan sempadan kedua-dua negara, selaras dengan pendekatan disepakati di bawah Kerangka Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Peace Accord) yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, pada 26 Oktober lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan beliau ketika mengadakan perbincangan menerusi perbualan telefon bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, malam ini.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebentar tadi bagi membincang perkembangan terkini sempadan Kemboja-Thailand.
“Saya menzahirkan kesediaan Kemboja dan Thailand untuk terus memilih ruang dialog dan usaha diplomatik sebagai jalan penyelesaian yang ampuh,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam ini.

Tambah Perdana Menteri, beliau juga mengalu-alukan peranan aktif Presiden Trump yang telah turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Thailand demi memastikan apa jua perbezaan ditangani dengan tertib, demi menjamin kestabilan dan keharmonian serantau.
Pada 26 Oktober lalu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lalu, disaksikan oleh Anwar dan Presiden Trump.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
