Perbicaraan Awam Terhadap Imran Khan Dinafikan – Peguam

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berhenti seketika ketika bercakap dengan Reuters semasa temu bual, di Lahore, Pakistan pada 17 Mac 2023. Foto Reuters
ISLAMABAD, 29 Nov – Peguam bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mendakwa perbicaraan mahkamah terbuka seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi dinafikan selepas kerajaan menyerahkan laporan yang memetik ancaman terhadap hidupnya.
Mahkamah yang mendengar kes itu kemudiannya berkata, perbicaraan Khan atas pertuduhan membocorkan rahsia negara akan diadakan di premis penjara tetapi akan dibuka kepada media dan orang ramai, menurut peguam itu.
Sebaliknya, Mahkamah Tinggi Islamabad memutuskan minggu lalu bahawa perbicaraan Khan di dalam premis penjara atas kebimbangan keselamatan adalah menyalahi undang-undang dan mengarahkan ia dimulakan semula di mahkamah terbuka.
Khan yang kini berada dalam penjara, menafikan tuduhan terhadapnya.
Bekas bintang kriket berusia 71 tahun itu terbabit dalam perbalahan politik dan undang-undang sejak digulingkan sebagai Perdana Menteri.
Beliau tidak kelihatan di khalayak ramai sejak dipenjarakan selama tiga tahun pada Ogos kerana menjual hadiah negara secara tidak sah semasa memegang jawatan dari 2018 hingga 2022.

Khan dilaporkan hadir di mahkamah sebelum penahanannya pada Ogos sambil dilindungi oleh pengawal keselamatan peribadinya dan meminta pengecualian daripada penampilan peribadi, berikutan bimbang ancaman terhadap keselamatannya.
“Laporan penjara sudah dikemukakan memetik bahawa Imran Khan mempunyai ancaman nyawa mengikut pelbagai laporan risikan dan polis,” kata peguamnya, Naeem Panjutha, dalam satu catatan di platform media sosial X.
Susulan itu, mahkamah khas sudah menjalankan perbicaraan di penjara sejak Khan didakwa atas tuduhan itu bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Khan berkaitan dengan kabel sulit yang dihantar ke Islamabad oleh duta Pakistan di Amerika Syarikat tahun lalu, di mana Khan dituduh mendedahkannya kepada umum.
Selain itu, sabitan rasuah meletakkan sekatan lima tahun ke atas Khan untuk bertanding dalam pilihan raya, namun beliau menafikan sebarang salah laku dan mendakwa semua pertuduhan terhadapnya, termasuk kes rasuah dan kebocoran kabel untuk menghalangnya daripada pilihan raya umum 8 Februari.
Bagaimanapun, tentera menolak dakwaan Khan.
Pilihan raya itu berbentuk pergaduhan antara parti Khan dan seorang lagi bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Nawaz Sharif.
Kedua-dua pemimpin berselisih dengan tentera, yang telah memerintah secara langsung atau mengawasi kerajaan awam sejak penubuhan Pakistan pada 1947.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
