Penyokong Pas Mula Risau, Pengundi Umno Akan Beralih Sokong Calon Perpaduan

Aishah dan Anisah berdiri di barisan sebelah kanan bersama rakan lain hadir ke pusat penamaan calon pada Sabtu.

PENDAPAT, 26 Jun – Mari kita simpulkan apa yang sedang berlaku sepanjang tiga hari pertama kempen calon Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap setakat ini.

PERMULAAN KEMPEN

Perang pilihan raya kecil sudahpun bermula di mana parti politik bertanding baik Pas dan PH+BN telah pun menaikkan bahan kempen seperti poster gambar calon dan bendera diletakkan pada tempat yang boleh dilihat oleh orang ramai terutamanya penduduk yang tinggal di DUN Sungai Bakap.

Bagi penduduk setempat di sini, lazimnya selepas lewat petang, pergerakan manusia agak lengang apatah lagi di sebelah malamnya sunyi dan tidak banyak kenderaan lalu-lalang kecuali di pekan lama Sungai Bakap.

LATAR SUNGAI BAKAP

Kawasan di DUN Sungai Bakap terletak kira-kira 30 kilometer dari Butterworth dan lima kilometer dari bandar Nibong Tebal antara Val’dOr di utara Jawi.

Kehidupannya yang sederhana dengan dikelilingi banyak kawasan perkampungan terutamanya terletaknya di enam pusat daerah mengundi antaranya PDM Tasek Junjung, Sungai Duri, Sungai Kechil, Ladang Sempah, Padang Lalang dan Kampung Besar.

KOMPOSISI PENGUNDI

Pusat daerah mengundi (PDM) Puteri Gunong dan Sungai Bakap yang mempunyai pengundi campuran terdiri orang Melayu, Cina, India dikatakan berjumlah seramai 12,417 daripada keseluruhan 39,279 pemilih berdaftar.

Manakala komposisi pengundi walaupun tidak jauh berbeza dengan kedudukan komposisi di Kuala Kubu Bahru namun kebergantungan di DUN Sungai Bakap tetap ke atas sokongan pengundi orang Melayu.

Bukan itu sahaja para pengamat dan pemerhati politik meramalkan yang Umno akan memainkan peranan bagi menarik sokongan pengundi orang Melayu untuk menyokong calon Perpaduan.

CETUS FENOMENA

Blok Kerajaan Perpaduan terlebih dahulu telah mencetuskan satu fenomena luar biasa yang memperlihatkan sokongan padu ditunjukkan oleh sebahagian jentera pilihan raya dan para penyokong yang datang dari jauh.

Malah penyokong dari luar negeri Pulau Pinang turut datang ke pusat proses penamaan calon bagi memeriahkan suasana di Dewan Serbaguna Jawi.

MENZAHIRKAN TANDA SOKONGAN

Mencuri tumpuan di celah-celah kebanjiran orang ramai dan para penyokong yang datang ke perarakan pada hari penamaan calon bertanding terlihat kelibat dua orang adik beradik dikenali Nur Aishah dan Nur Anisah yang menunjukkan semangat berkobar-kobar tanda menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi sambil memegang dan mengibarkan bendera gergasi yang tertera gambar PMX.

Dua orang adik beradik tersebut difahamkan seumpama seperti pasangan kembar yang tidak boleh berenggang sekejap pun pasti akan sering bersama ke mana sahaja pergi jika sekiranya ada program atau aktiviti yang membabitkan anjuran parti Harapan Perpaduan.

Aishah dan Anisah berdiri di barisan sebelah kanan bersama rakan lain hadir ke pusat penamaan calon pada Sabtu.

Menariknya mereka berdua seolah tampak lebih bersemangat ditambah dengan kehadiran ribuan penyokong Kerajaan Perpaduan.

Kedua-dua mereka berharap yang pengundi atau pemilih berdaftar akan memilih calon perpaduan Dr. Joohari Ariffin untuk DUN Sungai Bakap.

Meskipun mereka berdua tidak pernah mengenali calon bertanding secara dekat akan tetapi berdasarkan latar belakang dan profil dimiliki calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan dipercayai akan memberikan sedikit kelebihan berbanding calon di pihak parti lawan Abidin Ismail.

PERGOLAKAN PARTI PAS?

Adakah situasi tersebut memberikan gambaran awal yang jentera pilihan raya blok Kerajaan Perpaduan telah digerakkan semua jentera pilihanraya PH+BN terlibat agar bersiap sedia untuk menggempur habis-habisan bagi memenangkan calon perpaduan iaitu Dr. Joohari Ariffin.

Calon Pakatan Harapan (PH) Cikgu Joo mengadakan pertemuan bersama Persatuan Penduduk Taman Panchur Utama di Dewan Persatuan Penduduk Taman Panchur Utama. Foto Facebook Dr. Joohari Ariffin

Manakala menurut satu sumber di pihak blok pembangkang pula difahamkan telah berlaku keretakan hubungan melibatkan para penyokong Pas yang meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap calon yang dipertaruhkan oleh pimpinan Pas pusat sedangkan pada awalnya nama Iszuriee Ibrahim memang disebut-sebut sebagai calon bertanding mewakili parti itu.

Menerusi satu hantaran aplikasi WhatsApp yang tular di akaun Facebook milik Pas Sungai Bakap di mana calon Pas iaitu Abidin Ismail didakwa akan memberikan masalah terutamanya latar pendidikannya menjadi bahan modal berkempen di pihak blok khemah Kerajaan Perpaduan.

Memandangkan mungkin agaknya Pas dikatakan menghadapi masalah kekangan kewangan itu yang barangkali mendorong nama Iszuree Ibrahim yang merupakan Setiausaha Perhubungan Pas Pulau Pinang akhirnya terpaksa disisihkan daripada bertanding.

TINDAK BALAS

Bukan itu sahaja penggantian Iszuree dikatakan terdapatnya campur tangan oleh pihak pimpinan Bersatu dan Gerakan kononnya penggantian calon adalah sebagai tindak balas ke atas perbuatan Iszuree lalu yang pernah menghalang Dominic Lau naik ke pentas ceramah untuk duduk bersama tetamu Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas.

Tindakan yang dilakukan Iszuree lalu sebagai tanda protes terhadap kebiadapan Dominic yang telah mengguris perasaan kebanyakan penyokong Pas.

Sebaliknya Dominic yang juga Presiden Gerakan menganggap tindakan Iszuree merupakan satu penghinaan buat dirinya malah tidak menghormati beliau selaku rakan sekutu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan tersebut dianggap amat mengejutkan dan menguatkan lagi desas-desus bahawa sesama mereka di dalam komponen PN sudah dikatakan tiada lagi wujud persefahaman.

Mengeruhkan lagi keadaan yang melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Dun Cenggiri daripada parti Bersatu telah dilucutkan hak sebagai wakil rakyat yang sah oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan iaitu Nik Amar Nik Yaakob menguatkan lagi yang mereka seolah tidak lagi sehaluan seperti dulu.

MASALAH DALAMAN

Jadi timbul tanda tanya lain, mungkinkah perkembangan tersebut menunjukkan yang mereka pimpinan di blok pembangkang dikatakan menghadapi masalah dalaman yang serius dan hanya menunggu ‘retak menanti belah’ sahaja.

Menurut jurucakap di pihak penyokong blok Kerajaan Perpaduan yang Pas sekarang ini dikatakan telah tiada hala tuju yang jelas dan apakah matlamat perjuangan mereka.

Bahkan merasa pelik lagi dengan tindak tanduk sebuah parti yang bernaungkan sentimen Melayu Islam seperti Pas yang ahli parlimennya paling ramai berbanding Bersatu dan Gerakan yang dianggap lebih dominan malah sokongan dan pengaruhnya di peringkat akar umbi masih kuat.

Anehnya mereka pemimpin Pas seperti terkena pukau sehingga boleh tunduk dengan kemahuan komponen parti lain yang tidak punya grassroot malah tidak keterlaluan yang Pas sekarang ini lebih rela menjadi tunggangan Bersatu dan Gerakan.

Calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan Dr. Joohari Ariffin atau ‘Cikgu Joo’ diarak hampir 1,000 penyokong ketika menuju pusat penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi pagi tadi. Foto Facebook Fadhlina Sidek

KEBANGKITAN JENTERA

Meskipun blok pembangkang dikatakan sudah memperlihatkan berlakunya keretakan sesama komponen di dalam PN namun ianya masih dikatakan terlalu awal mungkinkah ianya sengaja untuk mengabui pandangan di pihak penyokong Kerajaan Perpaduan yang kononnya kerjasama sesama mereka di dalam PN sudah rapuh dan berpecah belah.

Sekalipun situasi tersebut ianya boleh dianggap akan memberikan sedikit kelebihan kepada jentera pilihanraya Khemah Kerajaan Perpaduan namun penulis percaya disebabkan faktor geografi tadi yang berkebetulan DUN Sungai Bakap adalah bersempadan dan bersebelahan Kulim-Bandar Bahru di Kedah dan Parit Buntar di Perak.

Apa yang boleh dikatakan keadaan itu bukanlah menjadi masalah besar buat mereka ini disebabkan Pas masih memiliki kekuatan dari segi jentera pilihan raya yang dilihat cukup bertenaga malah begitu kreatif mencipta apa sahaja isu atau bahan berkempen yang boleh mendekatkan jiwa untuk menarik sokongan pengundi.

Inilah kelebihan dan kekuatan jentera Pas yang tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak boleh menggugat kesepaduan gabungan pakatan PH+BN menerusi gerak kerja mereka yang tersusun.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengiringi calon Perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap Dr. Joohari Ariffin ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal. Foto X Mohamad Sabu

Bukan itu sahaja Pas Sungai Bakap akan menumpangi di sebalik aura seorang Menteri Besar Kedah tentunya dapat menyuntik kembali semangat di kalangan para penyokong Pas untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Pas memastikan yang kerusi DUN Sungai Bakap kekal menjadi milik mereka selari dengan slogan yang dijadikan tema berkempen iaitu “ Sungai Bakap Kita Kekal”.

‘KING MAKER’ KEMENANGAN

Penulis percaya kempen PRK DUN Sungai Bakap dianggap sangat penting terutamanya PN sendiri seandainya mereka kalah dan gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi lalu tentunya akan memberikan impak besar terhadap kelangsungan parti tersebut menjelang pilihan raya umum ke-16.

Bahkan rentetan daripada kekalahan berturut-turut dan inikan pula calon Pas yang bertanding selepas banyak PRK diadakan akan mengakibatkan menerima kesan lebih buruk lagi malah secara tidak langsung telah memperlihatkan secara terang-terang yang pengaruh dan kekuatan PN telah semakin melemah.

Oleh sebab itu, mereka tidak akan menyerah kalah sekalipun tahu akan kesepaduan gabungan jentera Kerajaan Perpaduan malah memiliki beberapa kelebihan sebagai blok kerajaan di pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Para pengamat dan penganalisis politik meramalkan yang pengundi Umno baik sama ada pengundi putih atau pengundi kelabu akan memainkan peranan bahkan menjadi “King Maker” yang akan menentukan kemenangan bagi Pas atau PH+BN pada 6 Julai depan.

Kebergantungan kemenangan Pas pada pilihan raya negeri lalu telah banyak disumbangkan oleh sebahagian pengundi ahli Umno yang menzahirkan tanda protes secara senyap.

Akan tetapi pada kali ini terdapat tanda-tanda awal akan berlaku perubahan yang menunjukkan mereka di kalangan pengundi Umno telah tersedar yang wakil rakyat Pas sebelum ini tidak banyak dapat membantu atau menyelesaikan isu serta masalah apatah lagi  untuk membangunkan prasarana di DUN Sungai Bakap amatlah jauh sekali.

Keadaan ini yang merisaukan sebahagian para penyokong blok pembangkang di pihak parti PAS sendiri yang menganggapnya pengundi Umno sudah mula dikatakan beralih untuk menyokong calon parti Kerajaan Perpaduan.

PENTAS MENGUJI SOKONGAN PENGUNDI

Di pihak parti Umno juga sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka yang akan mencerminkan sokongan sebenar sebahagian daripada lima ribu ahli Umno terhadap kepimpinan YAB Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin (kanan) bersama calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail (kiri) ketika hadir mengemukakan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Jawi pada Sabtu. Foto Bernama

Malah turut diperkatakan banyak pihak terutamanya beberapa orang pengamat politik berpandangan bahawa PRK DUN Sungai Bakap akan menjadi pentas menguji sokongan baik sama ada di pihak Kerajaan Perpaduan mahupun blok pembangkang.

Makanya, jentera pilihan raya gabungan parti PH+BN terutamanya Umno, DUN Sungai Bakap amat ditagih bagi membantu untuk menarik lebih sokongan ke atas pengundi orang Melayu terutamanya di keenam-enam pusat daerah mengundi yang harus diberikan lebih perhatian jikalau tidak kekalahan lalu dijangka akan berulang.

Rekod pada pilihan raya negeri yang lalu dikatakan mengundang banyak masalah kerana calon lepas iaitu Nurhidayah Che Rose didapati kalah banyak di semua saluran mengundi bagi keenam-enam pusat daerah mengundi tersebut.

– Pemerhati Bebas Politik

Tulisan di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *