Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig Serlah Keprihatinan PM Anwar Kepada Penggiat Ekonomi Gig

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pengumuman kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig menunjukkan komitmen dan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat mengambil berat akan hal-ehwal pekerja dalam sektor berkenaan.

Selain tepat pada masanya setelah beberapa perbincangan dilakukan sebelum ini, ia juga memberi sinar baharu buat pekerja ekonomi gig mendapatkan keadilan sama ada dari segi kadar upah, perlindungan insurans dan caruman dalam Perkeso sama seperti pekerja biasa.

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai menyifatkan ia detik bersejarah setelah sekian lama para pekerja ekonomi gig merayu campur tangan kerajaan, akhirnya pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, hasrat mereka berjaya direalisasikan.

“Selain memperkasa sektor ekonomi gig, Perdana Menteri juga mengiktiraf peranan para pekerja berkenaan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig hari ini.

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai menyifatkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig menyerlahkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penggiat ekonomi gig. Foto Andre Lai

“Ini sekaligus memastikan nasib para pekerja termasuk tanggungan mereka dipelihara malah dibantu dengan beberapa inisiatif terdahulu seperti pengenalan kemudahan pakej khas telekomunikasi serendah RM33 sebulan bagi data minimum 40GB.

“Saya difahamkan kira-kira 150,000 hingga 200,000 pekerja ekonomi gig telah menikmati pakej khas yang ditawarkan kerajaan pada awal tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Andre Lai berkata dengan pengenalan suruhanjaya itu ia akan memastikan para pekerja menerima gaji minimum setimpal dengan usaha mereka pada hari mereka bekerja.

Beliau juga mencadangkan agar suruhanjaya berkenaan mampu menjadi pusat rujukan kepada para penggiat industri gig dan pekerja mereka menyelesaikan sebarang isu berbangkit apabila beroperasi kelak.

Syarikat P-Hailing Bincang Bayaran Kepada Penghantar, Hargai Inisiatif PM Anwar

Terdahulu Perdana Menteri ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya hari ini mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Beberapa syor diangkat bagi memastikan peranan suruhanjaya itu dapat dilaksanakan secara berkesan selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI bagi mengangkat naratif keadilan sosial sebagai salah satu teras utamanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *