Penubuhan Dana Bantu Negara Mangsa Pencemaran Buka Tirai COP28

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP28 tahun ini diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Foto AFP

DUBAI, 1 Dis – Hampir 200 negara semalam bersetuju dengan pelancaran tabung bagi membantu negara yang dilanda pemanasan global, pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP28.

Pengumuman penting itu dibuat ketika tuan rumah COP28, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), mengisytiharkan bahan api fosil harus menjadi sebahagian daripada sebarang perjanjian iklim yang dirundingkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Rundingan di Dubai itu sangat penting untuk bumi disebabkan kadar pelepasan gas rumah hijau yang masih meningkat dan PBB semalam mengisytiharkan 2023 sebagai tahun paling panas dalam sejarah manusia.

Penubuhan rasmi tabung ‘kerugian dan kerosakan’ yang sekian lama ditagih oleh negara yang terdedah kepada iklim memberikan kemenangan awal pada COP28.

Namun, perpecahan yang ketara masih lagi nyata mengenai pemansuhan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP28 tahun ini diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Foto AFP

“Kita sudah mencipta sejarah pada hari ini,” kata Presiden COP28, Sultan Al Jaber, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.

Jaber berkata, ia adalah kali pertama keputusan sedemikian diterima pakai pada hari pertama dalam mana-mana COP dan kepantasan mencapainya juga unik, di luar jangkaan dan bersejarah.

“Ini adalah bukti yang boleh kami sampaikan. COP28 boleh dan akan menzahirkan apa yang dirundingkan,” katanya.

Pemimpin dunia sudah lama digesa untuk bergerak lebih cepat beralih kepada tenaga bersih dan mengurangkan pelepasan gas, kerana dunia kini tidak mampu mengehadkan kenaikan suhu global di bawah paras yang dipersetujui.

Penyertaan COP28 adalah dua kali ganda lebih besar berbanding tahun lalu dengan lebih 140 ketua negara dan kerajaan akan menyampaikan ucapan, hari ini dan esok, dimulai dengan Raja Britain, Raja Charles III.

UAE turut mengumumkan sumbangan AS$100 juta (RM466.9 juta) untuk dana kerugian dan kerosakan, dengan Kesatuan Eropah menyumbang AS$246 juta (RM1.14 bilion)

Lebih banyak ikrar dijangka dalam beberapa hari akan datang, tetapi jumlah terkumpul setakat ini jauh lebih rendah daripada AS$100 bilion (RM466.9 bilion) yang perlu disumbangkan kepada negara membangun yang terjejas.

Dalam perkembangan berkaitan, Jaber turut menimbulkan kebimbangan mengenai konflik kepentingan dalam pemansuhan bahan api fosil, kerana beliau menjadi presiden COP dan juga ketua gergasi minyak nasional UAE.

Ketika pembukaan persidangan itu, perwakilan turut bertafakur selama seminit untuk memperingati orang awam yang terkorban dalam konflik di Gaza.

Dua pemimpin negara pencemar terbesar dunia – Amerika Syarikat (AS) dan China – bagaimanapun tidak hadir, walaupun Beijing dan Washington pernah membuat pengumuman iklim bersama, yang jarang berlaku, sebelum COP28.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *