Penjualan MAHB Tak Pernah Berbangkit, Kekal Milik Malaysia – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak pernah dijual kepada pihak asing dan terus kekal menjadi milik Malaysia.

Perdana Menteri berkata dakwaan kononnya MAHB dijual menerusi pemilikan syarikat asing adalah sama sekali tidak berbangkit, malah pegangan saham majoriti MAHB dikuasai Khazanah Nasional (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 70 peratus, meningkat berbanding 40 peratus sebelumnya.

Beliau berkata, jawatan pengurusan utama iaitu Pengerusi MAHB dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.

Isu berkenaan timbul kononnya kerajaan mahu MAHB dijual kepada entitit asing Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dimiliki Israel.

Terdahulu Anwar mengingatkan agar jangan menjadikan penglibatan GIP dalam penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB sebagai wayang politik untuk menghentam kerajaan membabitkan isu Palestin.

Beliau berkata, malah pada setiap masa bersikap keras dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, namun pada masa yang sama tidak mahu melemahkan ekonomi Malaysia.

Justeru, katanya, isu GIP yang bakal diambil oleh syarikat Israel, BlackRock Inc tidak sepatutnya ‘ditunggang’ oleh mana-mana pihak untuk tujuan politik di negara ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *