Peningkatan Bayaran STR Diharap Ringankan Beban Rakyat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kenaikan bayaran STR diharap dapat meringankan beban rakyat menangani isu kos sara hidup. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 JanPerdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap peningkatan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang ketara pada tahun ini dapat meringankan beban rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam hantaran di Facebook beliau berkata bayaran maksimum STR bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih 66 peratus kepada RM500, berbanding RM300 tahun lepas, dengan bayaran bagi Fasa 1 STR 2024 kepada 8.2 juta penerima akan disalurkan bermula hari ini.

Katanya beliau akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

“Kerajaan MADANI beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah. Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.

Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *