“Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia” – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian ramai apabila memuat naik poster misteri di laman Facebook rasmi pada 14 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian ramai malam ini apabila memuat naik poster misteri berlatar belakangkan warna biru di laman Facebook miliknya.
Menerusi hantaran itu, Perdana Menteri memberi bayangan mengenai penghargaan khas yang akan diberikan kepada pihak yang identitinya tidak didedahkan kepada umum.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengajak orang ramai untuk menantikan kejutan yang bakal menemui orang ramai tidak lama lagi itu.
Hantaran itu juga tidak memperincikan penjelasan lanjut, sekali gus mengundang reaksi balas yang pelbagai dalam kalangan pengikutnya di ruangan komen.
“Akan datang, suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku,” katanya.
Hantaran itu meraih lebih 17,000 tanda suka dan hampir 6,700 komen selain dikongsi lebih 1,400 pengikut selepas beberapa jam disiarkan.
Antara komen yang dikongsikan pada hantaran itu menerima reaksi pelbagai daripada warganet walaupun tertanya-tanya apakah berita baik berkenaan.
“DSAI ni walau byk fitnah dtg, dia tetap fokus kerja. Tindakan dia utk kawal kos sara hidup mmg nampk hasil. Program Rahmah, STR, Klinik Madani semua tu mmg jwb kpd beban rakyat. Skrg rakyat mcm sy ada rasa lega sket tiap bulan. Terima kasih YAB PM,” tulis Nurul Carissa Abd Ghani.
AbgPurple Papel pula menulis: “Setiap pengumuman besar perlu persiapan rapi. Poster ini mungkin petunjuk kepada sesuatu yang besar untuk rakyat. Daripada terus negatif, kenapa tak bersikap positif dan tunggu dulu? Malaysia perlukan harapan, bukan rasa curiga yang berterusan.”
Sementara Gina Normajidi mencatatkan “Harap kerajaan teruskan galakkan integrasi digital. Urusan online skrg mmg byk mudahkan kerja. Tak perlu ke pejabat kerajaan beratur panjang. PMX pandai manfaatkan teknologi utk kurangkan birokrasi. Sangat2 memudahkan.”
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
