Penganalisis Setuju Subsidi Bersasar Perkukuh Penarafan Kredit Malaysia

Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited memastikan bantuan kewangan diterima oleh mereka yang sangat memerlukan, selain menggalakkan kecekapan dan keadilan dalam pasaran. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Jul – Penyasaran semula subsidi yang sedang dijalankan oleh kerajaan berpotensi meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik dalam kalangan agensi penarafan kredit dunia seperti Fitch Ratings, Moody’s dan S&P Global Ratings (S&P).

Dua daripada agensi penarafan utama dunia, Fitch dan S&P minggu lalu menyatakan defisit fiskal Malaysia dijangka mengecil susulan penyasaran semua subsidi secara berfasa yang sudah dimulakan.

Ia juga diulas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan, usaha ini merangkumi reformasi menyeluruh institusi untuk meningkatkan mudah cara perniagaan dan daya saing serta penerusan pelaksanaan projek dan pembaharuan dasar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-e12).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi keyakinan kepada penjawat awam bahawa kerajaan sedaya membantu rakyat menangani kos sara hidup. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Dengan pasaran buruh yang memberangsangkan serta pertumbuhan menggalakkan dari segi perdagangan dan pelaburan memacu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2024 sehingga melepasi jangkaan, kerajaan yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai pertumbuhan dalam julat sasaran rasmi sebanyak 4 hingga 5 peratus pada 2024,” kata beliau.

Bagi Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Anthony Dass, berkata lebih penting adalah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited memastikan bantuan kewangan diterima oleh mereka yang sangat memerlukan, selain menggalakkan kecekapan dan keadilan dalam pasaran.

“Dengan beralih daripada subsidi pukal sehingga memaksa kerajaan mengeluarkan RM81 bilion pada 2023, langkah terbaharu ini (rasionalisasi subsidi) sepatutnya membantu kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 berbanding 5 peratus pada 2023,” katanya.

Dass berkata, tumpuan utama kini tertumpu kepada penyasaran RON95, selepas kerajaan melaras semula harga telur dan elektrik.

“Rasionalisasi RON95 membantu kerajaan mengisi jurang sekitar RM2.2 bilion untuk memenuhi pengurangan subsidi RM11.4 bilion kepada RM52.8 bilion pada 2024.

Pengekalan Penarafan Kredit Malaysia Bukti Pengurusan Ekonomi Berhemat – PM Anwar

“Memandangkan keseriusan kerajaan terhadap dasar pembaharuan dan rasionalisasi subsidi, ia menjadi petanda baik dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini mungkin terlalu awal membuat kesimpulan penilaian kredit negara akan bertambah baik.

“Walaupun sebarang peningkatan kepada penarafan kredit negara pastinya positif yang lebih penting adalah menilai ekonomi keseluruhan dari sudut pandangan holistik.

“Dengan kerajaan menunjukkan kepentingan disiplin fiskal, memperbaiki kehadiran antarabangsa Malaysia dengan siri lawatan Perdana Menteri untuk menambah baik perdagangan dan pelaburan, ia berpotensi meningkatkan negara daripada persekitaran ekonomi ‘stabil’ ketika ini kepada persekitaran ‘positif’.

Untuk maklumat lanjut tinjauan fiskal 2024 layari https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2024/hasil/tinjauan_fiskal_2024.pdf

“Peningkatan sebegini pasti memberi petanda baik kepada negara dari segi keyakinan pelabur dan perniagaan, kemampanan pertumbuhan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) serta potensi ringgit,” katanya.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata meskipun rasionalisasi subsidi langkah tidak popular, ia tetap dilaksanakan bagi memastikan sumber kerajaan dibelanjakan ke arah perkara yang dapat meningkatkan produktiviti negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, rasionalisasi subsidi menjadi pertumbuhan ekonomi lebih berkualiti kerana berasaskan produktiviti dan pelaburan, bukan penggunaan semata-mata.

Katanya, jika situasi itu dapat dicapai, pertumbuhan ekonomi lebih stabil disebabkan setiap faktor pengeluaran seperti buruh, modal, tanah, teknologi dan usahawan dapat berinteraksi secara efektif serta menghasilkan suatu produk berkualiti tinggi.

“Sudah pasti perkara ini menaikkan markah penilaian kredit oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, S&P dan Fitch terhadap kerajaan Malaysia. Apabila reformasi ekonomi ini diteruskan dengan konsisten, sudah pasti merubah tinjauan kepada penarafan sedia ada iaitu ‘neutral.

“Sekiranya tinjauan penarafan dinaikkan, kemungkinan penarafan sedia ada iaitu A3, A- dan BBB+ dapat dinaikkan lagi, sekali gus menarik minat pelabur asing untuk membeli saham dan bon di Malaysia.

“Situasi ini juga mewujudkan permintaan terhadap ringgit. Oleh itu, nilai ringgit berpotensi meningkatkan jika reformasi ekonomi seperti antaranya rasionalisasi subsidi bahan api dapat diteruskan dengan konsisten,” katanya.

Mohd Afzanizam menjelaskan, penarafan kredit yang baik mendorong harga saham dan bon meningkat, sekali gus menaikkan pulangan pelaburan institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Pemodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Institusi pelaburan ini juga boleh memberi kadar dividen lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya jika prestasi pelaburan menjadi lebih baik,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *