Pemimpin Masyarakat, Agensi Kerajaan Perlu Bantu Usaha Noktah Kemiskinan Tegar – Azman Abidin

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (empat dari kanan) ketika hadir pada taklimat ringkas Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Kota Marudu, Sabah. Foto Facebook Azman Abidin

KOTA MARUDU, 5 MacPemimpin masyarakat dan agensi kerajaan perlu bekerjasama untuk membantu kerajaan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata, fungsi pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan sangat penting bagi memantau serta memberikan laporan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.

“Kita dalam kerajaan, khususnya di Jabatan Perdana Menteri, tidak tahu apa yang berlaku di luar… kita tidak tahu mana lagi rakyat yang berada dalam golongan miskin tegar.

“Oleh itu kita sangat berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan agensi yang memberi kami laporan dan berdasarkan laporan berkenaan, kita akan turun padang mencari langkah penyelesaian untuk membantu mengeluarkan rakyat berkenaan daripada golongan miskin tegar,” katanya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (empat dari kanan) ketika hadir pada taklimat ringkas Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Kota Marudu, Sabah. Foto Facebook Azman Abidin

Azman berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih ke 10 rumah daif di daerah ini bersama petugas Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Mengulas mengenai program itu, Azman berkata beliau bersama petugas ICU JPM berkunjung ke rumah daif yang telah dipilih untuk menyampaikan sumbangan makanan dan wang.

“Saya sangat terkejut kerana rumah yang didiami sepatutnya tidak boleh didiami. Ada rumah daif yang boleh didiami namun ini rumah daif yang tidak boleh didiami.

“Saya akan meminta laporan terperinci daripada pemimpin tempatan dan pejabat daerah agar dapat segera membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan MADANI khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini dan usaha itu hanya akan dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak khususnya pemimpin masyarakat serta agensi kerajaan.– BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *