Pemilihan Amirudin Pastikan Bantuan Ke Gaza Berjalan Lancar – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 negeri Perak di Ipoh pada 4 April 2026. Foto KKDW
IPOH, 4 Apr – Pemilihan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 bagi melicinkan urusan berkaitan bantuan tersebut dengan kerajaan Mesir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, keputusan kerajaan memilih Amirudin bagi misi tersebut tersebut didorong oleh faktor kuantiti bantuan yang banyak sehingga melibatkan kontena besar.
“Ia melibatkan beberapa proses perundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak tenteranya, jadi saya kena minta seorang wakil yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk membantu memudahkan (urusan berkenaan).

“Sebab itu saya minta Datuk Seri Amirudin mewakili kita untuk berunding, melicinkan proses itu kerana masalah dan kesukaran dihadapi oleh rakyat Gaza itu terlalu berat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini.
Amirudin dijadualkan berlepas esok bagi melaksanakan misi berkenaan termasuk memastikan pelepasan bantuan di Kaherah serta menyertai beberapa agenda antarabangsa berkaitan isu Gaza.

Sebanyak 30 kontena yang mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan akan disampaikan bagi membela nasib warga Palestin di Gaza.
Selain memastikan pelepasan kontena bantuan di Kaherah berjalan lancar, Amirudin turut dijadual mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
